SARIKEI: Persekitaran tapak peniagaan yang kondusif dan selesa di Pasar Sentral membuktikan kerajaan tidak mengabaikan kepentingan peniaga kecil di bahagian ini.

ADUN N.45 Repok, Dato’ Sri Huang Tiong Sii berkata, kewujudan pasar sentral moden dengan tawaran beraneka produk menambah seri suasana kawasan yang juga terkenal sebagai pusat tumpuan awam itu.

Malah, ujarnya, pelbagai kemudahan yang disediakan membolehkan penjaja berniaga dalam suasana selamat.

“Bagaimanapun, beberapa aspek samping perlu ditambah antaranya penyediaan lebih banyak kipas untuk keselesaan peniaga dan pengunjung. Sehubungan itu, saya akan mengemukakan pemohonan kepada Majlis Daerah Sarikei (MDS) mengenainya,” katanya.

Beliau berkata, pasar sentral boleh dijadikan tarikan pengunjung yang kerana pelbagai jenis barangan dan makanan dijual di situ.

Sehubungan itu katanya peniaga dan pengunjung perlu berganding bahu bersama pihak berkuasa tempatan menjaga kebersihan pasar berkenaan.

“Saya cukup gembira dengan kerjasama baik penjaja tapak ini yang patuh dengan arahan Prosedur Operasi Standard (SOP) sepanjang PKP.

“Justeru saya berharap kepatuhan itu diteruskan kerana kita masih melaksanakan Perintah Kawalan Pemulihan (PKPP) dalam usaha mengekang penularan wabak Covid 19,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut meluangkan masa turun padang meninjau keadaan serta keperluan peniaga di kawasan terbabit, semalam.

Hadir sama, Pengerusi MDS, Wong Zee Yeng.