RAMAI yang kehilangan sumber pendapatan akibat wabak Covid-19. Malah ramai juga yang kehilangan pekerjaan apabila majikan mengecilkan jumlah tenaga kerja, seiring dengan kos semasa.

Ia bukan hanya membabitkan organisasi kecil dan sederhana, tetapi turut dirasai organisasi gergasi. Tindakan drastik ini terpaksa diambil untuk kelangsungan hidup.

Namun sejak ‘pintu ekonomi’ dibuka semula melalui fasa pemulihan 10 Jun lalu, ramai menarik nafas lega, terutama para usahawan yang bergantung sepenuhnya terhadap urusan jual beli harian.

Namun ramai juga yang gulung tikar akibat bebanan kewangan meruncing dan tidak mampu diselamatkan. Senario ini bukan hanya berlaku di negara kita, tetapi di seluruh dunia.

Akibatnya kadar pengangguran di negara ini meningkat kepada lima peratus pada April, lebih tinggi berbanding 3.9 peratus pada Mac.

Bilangan penganggur meningkat 48.8 peratus dalam kadar tahunan kepada 778,800 orang. Ekoran krisis ini, belia sebagai kumpulan paling malang dengan kadar pengangguran semakin meningkat (12.9 peratus), lebih tinggi berbanding 11.3 peratus pada Mac.

Sebaliknya, kadar pengangguran lebih rendah untuk kumpulan masyarakat yang berusia melebihi 25 tahun ke atas (2.4 hingga 3.4 peratus) dan 31 tahun ke atas (1.5 hingga 2.5 peratus).

Sementara itu, kajian Organisasi Buruh Antarabangsa (ILO) menunjukkan sebanyak 77 peratus daripada 1.3 juta belia di dunia terbabit dalam kerja tidak formal.

Pengangguran merupakan isu yang membimbangkan sebelum berlakunya wabak Covid-19 dan kini ia semakin serius. Belia merupakan golongan paling terjejas dan menjadi mangsa pembuangan awal majikan, kerana kekurangan pengalaman bekerja.

Di Malaysia, belia yang berusia antara 15 hingga 24 tahun menyumbang sebanyak 2.8 juta tenaga buruh, iaitu 18 peratus dan mewakili 58.2 peratus penganggur.

Pelbagai usaha telah dilakukan oleh kerajaan sepanjang PKP, PKPB dan PKPP. Misalnya peruntukan RM9 bilion dalam Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA), sebagai alternatif untuk mengurangkan kadar pengangguran.

Antara langkah utama ialah lanjutan Program Subsidi Upah, insentif pengambilan dan latihan pekerja, peruntukan peningkatan kemahiran dan latihan semula, penubuhan Unit Khas untuk Pekerjaan Negara serta menaik taraf portal perkhidmatan pekerjaan di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Bagaimanapun, kita tidak seharusnya bergantung sepenuhnya terhadap bantuan tersebut. Usaha dan dasar-dasar lain wajar diperkenal, yang boleh menjanjikan modal insan berpotensi untuk masa hadapan.

Misalnya, sistem pendidikan-ke-pekerjaan (E2E). Melaluinya, pendidikan atau subjek berkaitan akan diajar di samping pemberian insentif pengambilan pekerja bagi mempersiapkan mereka.

Oleh itu, Institusi Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) memainkan peranan penting dalam melahirkan warga belia berkemahiran tinggi.

Kajian menunjukkan usaha ini cukup efisien untuk membantu mengurangkan kadar pengangguran di negara kita.

Di samping itu, usaha berterusan pelbagai pihak terutama sektor korporat dalam membimbing para belia juga perlu diambil perhatian.

Peluang pendidikan asas dan ruang kerjaya perlu diterokai sepenuhnya, di samping memberi galakkan kepada mereka agar berani berdikari.