SARIKEI: Bunyi bising seekor kucing menarik perhatian pengunjung sebuah kedai sebelum menyedari si comel itu berada atas bangunan berkenaan.

Kucing yang berusia setahun tersebut dipercayai mengejar sesuatu di belakang bangunan itu sebelum terperangkap di bahagian berandanya.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sarikei Mahmudin Narudin berkata, anggotanya bergegas ke lokasi selepas menerima panggilan jam 1.16 petang.

“Haiwan ini mungkin bermain-main atau mengejar sesuatu di atas bangunan itu. Kejadian disedari orang ramai yang terdengar haiwan itu mengiau.

“Mereka kemudiannya menghubungi bomba untuk mendapatkan bantuan,” katanya.

Beliau menambah, pasukan bomba mengambil kucing itu menggunakan tangga dan kemudian melepaskannya di kaki lima.

Operasi itu berakhir jam 2.48 petang.