KUCHING: Pengiktirafan dunia terhadap kejayaan Malaysia mengawal penularan wabak Covid19, memberi isyarat bahawa Malaysia adalah negara yang selamat dan berada dalam lingkungan zon hijau.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia Datuk Seri Nancy Shukri berkata, kejayaan itu bukan sahaja memberi nafas lega kepada rakyat malah turut menjadi dorongan bagi merancakkan semula aktiviti pelancongan seni dan budaya yang terjejas.

“Pada hari ini, saya membawa rakan-rakan sepasukan daripada Pengurusan Tertinggi Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (Motac), untuk melihat sendiri potensi produk pelancongan yang boleh diangkat di Batang Sadong.

“Antaranya Galeri Songket Gedong, Gunung Ngeli, Dewan Warisan Kebudayaan Batang Sadong yang bakal dijadikan sebagai pusat kebudayaan pelbagai masyarakat di Batang Sadong serta rumah inap di Sadong Jaya yang menyajikan masakan Bugis,” katanya sempena Majlis Makan Malam Bersama Motac dan Ketua Jabatan di bawah Motac di Hotel Grand Margherita kelmarin.

Menurut Nancy, semua masyarakat perlu memainkan peranan dalam membangunkan modal insan, mengenal pasti produk baharu dan pakej yang menarik serta mempunyai nilai yang memberi pulangan kepada negara.

Menurutnya, ia dapat menjadi pemangkin kepada pemba-ngunan pelancongan luar bandar yang akan membantu meningkatkan ekonomi masyarakat setempat terutamanya dalam fasa pascaPKP dan PKPB.

“Melalui cara ini juga, kita dapat menjadikan pelancongan luar bandar berkonsepkan agropelancongan dan ekopelancongan yang mempunyai nilai warisan dan budaya termasuk pelancongan gastronomi.

“Untuk itu, agensi-agensi di bawah Motac perlu memainkan peranan mereka dalam memperkasakan ilmu dan kemahiran komuniti setempat seperti yang kita diadakan bersama Kraftangan Malaysia,” katanya lagi.

Nancy turut berharap agar potensi pelancongan terus diterokai dan dibangunkan bukan sahaja di Batang Sadong tetapi di semua kawasan luar bandar bagi mencari produk pelancongan yang baharu serta berasaskan nilai sejarah dan ekopelancongan dan agropelancongan.

“Semua perlu mengetahui tanggungjawab dan amanah masing-masing dalam memastikan matlamat, misi dan visi Motac yang bukan sahaja di atas kertas, tetapi dilaksanakan dengan jayanya,” tegasnya.