BAU: Cubaan pendatang asing tanpa izin (PATI) untuk membina sebuah jambatan kayu di lorong tikus di sempadan Sarawak-Kalimantan akhirnya terbongkar setelah tindakan mereka diserbu sepasukan Rejimen Ke-4 Kor Armor Diraja, semalam.

Markas Divisyen Pertama Infantri menerusi satu kenyataan rasmi mendedahkan pihaknya berjaya menemui aktiviti itu ketika membuat rondaan di kawasan ladang Empaling, Kampung Stass, sekitar jam 11 pagi.

Tambahnya, tinjauan pasukan menemui sekumpulan PATI sedang giat membuat jambatan menggunakan jentera serta beberapa buah kereta dan lori berisi barang kawalan dipercayai cuba dibawa masuk ke negara jiran.

“Pemeriksaan awal mendapati sebuah jengkaut jenis Hitachi sedang membuat jambatan di lorong tikus terbabit.

“Kesemua PATI yang terkejut ketika serbuan dijalankan bertempiaran lari memasuki sempadan Indonesia dan meninggalkan kesemua barangan di lokasi kejadian.

“Pasukan berjaya merampas empat buah lori, sebuah kenderaan pacuan empat roda, sebuah Jengkaut, barangan terkawal termasuk telur, sayuran, baja, dan kayu lapis,” jelas kenyataan itu hari ini.

Tambahnya, kesemua barangan yang dianggarkan bernilai RM490,986.00 itu telah dirampas.

Dalam pada itu, katanya, seorang lelaki dipercayai tuan tanah dan bersubahat selaku Tekong Darat dengan membenarkan aktiviti jenayah rentas sempadan turut ditahan.

“Suspek bersama kesemua barangan kes telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Bau untuk tindakan siasatan lanjut,” tegasnya.

Dedah kenyataan itu, pihak Tentera Darat melalui formasi 1 Divisyen dan pasukan di bawah naungan akan sentiasa meningkatkan kawalan keselamatan berikutan perkembangan semasa ancaman jenayah rentas sempadan dan aktiviti penyeludupan di sempadan Sarawak.

RAMPAS… beberapa lori dan kenderaan dengan muatan barang kawalan telah dirampas dan dibawa ke IPD Bau untuk tindakan siasatan lanjut.