KUCHING: Kerajaan Sarawak melalui Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan membantu menyediakan rumah kediaman sementara kepada keluarga juruhebah radio bahasa Iban, Ivy Ubang, 51, yang menjadi mangsa kebakaran rumah baru-baru ini.

Surat tawaran mendiami sementara rumah Perbadanan Pembangunan Perumahan (HDC) terbabit disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif HDC Mohamad Asman Ahmad sambil disaksikan Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Dr Sim Kui Hian di tapak rumahnya yang musnah di RPR Fasa 1 Batu Kawa.

“Rumah kediaman sementara yang ditawar HDC kepada kami terletak di Taman Dahlia, Batu 5, Jalan Matang.

Sewanya rumah itu hanya RM150 sebulan,” kata Ivy semalam.

Beliau gembira menerima bantuan itu kerana ketika ini keluarganya terpaksa menumpang di rumah adiknya di Taman Genesis, Batu Kawa.

“Saya selepas ini akan berpindah ke Taman Dahlia secepat yang mungkin dan kami sekeluarga akan tinggal di sana sehingga dan siap membina kembali rumah asal kami di RPR Batu Kawa yang musnah,” katanya.

Ivy juga memaklumkan, keluarganya diberikan tempoh dua tahun menetap di rumah kediaman sementara HDC.

Mereka juga boleh memohon melanjutkan tempoh itu sehingga rumah asal mereka RPR di Batu Kawa siap dibina semula.

Dalam kejadian 12 Jun lepas, tiga rumah teres dua tingkat di RPR Batu Kawa Fasa 1 termasuk dimiliki juruhebah terbabit musnah 100 peratus manakala sebuah lagi rumah terbakar sehingga 65 peratus.

Rumah itu diwarisi Ivy daripada mendiang bapanya, Pegawai Waran (Bersara) Ubang Kendawang yang pernah bertugas dalam pasukan Rejimen Renjer Diraja Tentera Darat dan pernah menentang komunis serta berjuang ketika konfrontasi.