KUCHING: Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas berpuas hati dengan orang ramai yang mematuhi SOP yang telah ditetapkan oleh pusat beli-belah Aeon di sini, semalam.

Uggah bersama-sama Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Sim Kui Hian dan Datuk Bandar Kuching Selatan Datuk Wee Hong Seng mengadakan lawatan ke pusat beli-belah itu untuk melihat sendiri pelaksanaan aplikasi CovidTrace.

Beliau berpuas hati dengan segala SOP yang ditentukan dengan pelaksanaan aplikasi CovidTrace.

“Kita nampak kod QR diletakkan dalam semua kedai-kedai. Ini bermakna tahap kepatuhan tinggi.

“Saya boleh kata 100 peratus orang memakai pelitup muka. Walaupun kita belum memberi arahan wajib untuk memakai pelitup muka tetapi rakyat sendiri memakai pelitup muka.

“Saya juga perasan di satu pusat kecergasan tadi, kalau pelanggan tidak memakai pelitup muka, mereka menjual pelitup muka,” ujarnya.

Uggah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) turut menasihatkan pengurusan Aeon Mall untuk menyediakan penjualan pelitup muka kepada pelanggan.

Jelasnya, mungkin ada pelanggan bergegas keluar dari rumah dan terlupa untuk memakai pelitup muka.

Katanya lagi, pelitup muka ini membantu dalam cara mencegah penularan penyakit, melindungi diri sendiri serta orang ramai.