JAKARTA: Kebanyakan warganegara Indonesia yang diuji positif Covid-19 di luar negara kini sudah pulih, menurut Kementerian Luar Negara itu pada Sabtu.

Memetik laporan Jakarta Post, kementerian itu menerusi Twitter rasminya @ Kemlu_RI, mendedahkan seramai 1,100 warga Indonesia di negara lain diuji positif Covid-19.

Daripada jumlah itu, 739 pulih manakala 76 lagi meninggal dunia. Seramai 285 pesakit dilaporkan masih menerima rawatan.

Pesakit yang pulih melibatkan warganya yang menetap di negara seperti Qatar, Macedonia Utara dan Rusia.

Selain negara asing itu, pihak kementerian turut mencatat 180 warga Indonesia yang positif Covid-19 di atas kapal pesiar, lima daripadanya meninggal dunia sementara 154 yang lain pulih.

Kerajaan Indonesia sebelum ini berjanji memastikan perlindungan untuk rakyatnya yang berada di luar negara, ketika di tengah-tengah pandemik Covid-19, termasuk memberikan bantuan kemudahan untuk pulang ke tanah air jika perlu.

Sementara itu, pihak berkuasa kesihatan di Indonesia mengesahkan sejumlah 52,812 kes Covid-19 di seluruh negara.

Sekurang-kurangnya 2,720 orang maut akibat wabak itu.