KUCHING: Institusi Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (Niosh) sedia bekerjasama dengan Kerajaan Sarawak dalam memastikan pengurusan keselamatan dan kesihatan di tempat kerja.

Pengerusi Niosh Datuk Wilson Ugak Kumbong bersama Naib Pengerusi Datuk Senator T. Mohan; Pengarah Eksekutif Ayop Salleh; Setiausaha Eksekutif Mejar Hanif Maidin serta beberapa kakitangan membuat kunjungan hormat kepada Timbalan Ketua Menteri Tan Sri James Jemut Masing.

Kunjungan hormat itu dibuat bagi memperkenalkan organisasi kepada Masing yang juga Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan. Menerusi kenyataannya, Niosh menghargai cadangan Masing atas idea untuk membuka pejabat operasi Niosh di Kapit dan, percaya usaha ini akan memberi kemudahan masyarakat Kapit khususnya warga kerja bagi sektor minyak dan gas yang terpaksa ke Bintulu untuk mendapat perkhidmatan Niosh .

Katanya, Niosh akan terus bekerjasama dengan rapat dengan Kerajaan Sarawak dan meneroka lebih banyak peluang usaha sama bagi manfaat industri.

Selain untuk memastikan tahap kesedaran dan pengetahuan di dalam pengurusan risiko dan bahaya semasa bekerja di kalangan pekerja.

Agensi di bawah Kementerian Sumber Manusia itu juga akan memberi sokongan kepada apa juga keperluan dan bantuan melibatkan aspek keselamatan dan kesihatan di tempat kerja seperti keperluan perundangan, khidmat nasihat dan kempen kesedaran.

Niosh beroperasi melalui tiga pejabat iaitu di Kuching, Bintulu dan Miri dan Niosh Sarawak membantu industri khususnya majikan dan pekerja dalam pelbagai aktiviti latihan dan perkhidmatan rundingan.

“Niosh Sarawak melatih purata 10,000 orang pekerja dan melebihi 1,000 sesi latihan setiap tahun khususnya melibatkan sektor minyak dan gas, pembinaan, utiliti (elektrik dan komunikasi), perladangan dan lain-lain.

“Niosh melihat keperluan untuk bergerak lebih aktif dan melaksanakan pendekatan strategik,” katanya.