MUKAH: Sebanyak 13 Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan lapan jawatankuasa serta badan bukan kerajaan (NGO) di bawah Dun Daro menerima geran MRP berjumlah RM154,000.

Majlis penyampaian sumbangan disempurnakan Adun Daro Safiee Ahmad di Pusat Khidmat Dun Daro.

Sumbangan itu merupakan salah satu inisiatif untuk membantu penerima melaksanakan aktiviti mereka.

Sehubungan itu, Safiee menegaskan, beliau sentiasa memberikan sokongan sama ada dalam bentuk moral mahupun kewangan mengikut kemampuan dirinya jika melibatkan pendidikan.

“Antaranya ialah melalui sumbangan MRP kepada setiap PIBG di bawah Dun Daro.

“Saya tidak mahu terlepas pandang kerana bagi saya pendidikan adalah sesuatu yang amat mustahak,” ujarnya.

Beliau berkata, dana MRP amat penting bagi mengerakkan aktiviti PIBG yang berupaya memberi manfaat kepada semua pihak termasuk pelajar, ibu bapa, guru dan masyarakat setempat.

Malah katanya, perkara itu sentiasa dititikberatkan walaupun sebuah sekolah atau PIBG di dalam kawasan Dun Daro.

“Sejak bergelar wakil rakyat, saya amat menitikberat soal pendidikan kerana itulah salah satu pelaburan jangka panjang yang amat penting.

“Justeru, saya tetap bagi MRP kepada setiap PIBG di kawasan saya walaupun ada yang tidak mohon,” ujarnya.

Beliau turut mengingatkan semua pihak mengikuti norma baharu terutamanya ketika di kawasan sekolah, tempat awam atau rumah.