KOTA SAMARAHAN: Kesesakan yang sering dihadapi penduduk di Jalan Datuk Mohd Musa di sini bakal selesai dalam tempoh tiga tahun akan datang dengan pembinaan empat lorong di laluan yang dikenal pasti.

Menteri Kanan Infrastruktur Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, projek berkenaan diluluskan olehnya ketika menjadi Menteri Kerja Raya di bawah Kerajaan BN, namun ekoran perubahan Kerajaan Persekutuan kepada PH dan perubahan dasar maka, ia tidak dapat dilaksanakan.

“Bagaimanapun, projek ini dapat diteruskan semula tetapi kerja fizikal tidak dapat dilakukan ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) meskipun Surat Setuju Terima (SST) dikeluarkan pada 17 Mac lalu.

Foto Aliep Noni

“Secara keseluruhannya, terdapat 43 sekolah dan lima klinik di kawasan ini dengan 70,000 menggunakan laluan berkenaan setiap hari apabila dinaik taraf dengan kos RM180 juta,” ujarnya selepas merasmikan projek naik taraf laluan berkenaan di sini kelmarin.

Menurut Fadillah, laluan di Jalan Datuk Mohd Musa sepanjang 11.6 kilometer itu merupakan penghubung penting di antara Kota Samarahan dengan Kota Sentosa dan Kota Padawan yang mengalami pembangunan pesat.

Katanya lagi, pembinaan jalan raya Persekutuan itu telah dikeluarkan kepada Kontraktor Musyati Sdn. Bhd secara tender terbuka dengan piawaian U5 standard JKR.

“Apabila kerja pembinaan dimulakan kelak, ia amat mencabar kerana ke-sesakan langsung akan berlaku. “Oleh itu, saya berharap para pengguna jalan raya mematuhi pengurusan lalu lintas sebagai usaha mengurangkan risiko kemalangan,” jelasnya.

Beliau berharap masalah yang bakal dihadapi oleh pengguna jalan raya di la-luan berkenaan usah ditularkan di media sosial tetapi terus berhubung dengan pihak berkaitan.

Fadillah juga memberitahu, Sarawak tidak ketinggalan dalam pembangunan infrastruktur di bawah Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK-11) apabila mendapat peruntukan berjumlah RM3.6 bilion.

“Peruntukan itu digunakan untuk membiayai 21 projek dengan membina jalan raya baharu, jambatan dan laluan memotong. “Bagaimanapun, beberapa projek yang telah dirancang lebih awal tidak sempat dilaksanakan sepenuhnya ekoran pertukaran Kerajaan Persekutuan di bawah PH,” ujarnya.

Namun, katanya, beberapa projek terdahulu seperti pembinaan Jambatan Batang Lupar, Jambatan Batang Igan dan Jambatan Batang Rambungan tidak dibatalkan cuma ditangguhkan.

“Malah, pembinaan jambatan di Sungai Semanju, Lemanak dan Batang Undop akan digantikan pada tahun ini,” katanya. Hadir sama Menteri Muda Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Datuk Julaihi Narawi dan Ahli Parlimen Kota Samarahan Rubiah Wang.