KUCHING: Skuad Sarawak United FC I akan melakukan ujian swab Covid-19 esok untuk memenuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) bagi permohonan sesi latihan fasa pertama bersama pasukan.

Pengurus pasukan SUFC I, Afiq Fikri Brahim berkata, ujian swab mesti dilakukan terlebih dahulu bagi permohonan untuk pemain berlatih dalam fasa pertama.

Sanitasi kawasan latihan di stadium juga akan dilakukan. “Latihan dijangka bermula pada pertengahan minggu pertama Julai ini setelah mendapat kelulusan MFL. “Kita akan mematuhi segala SOP yang telah ditetapkan untuk mengelak jangkitan Covid-19 yang masih menjadi kebimbangan kita,” katanya yang dihubungi Suara Sarawak baru-baru ini.

Tambah beliau, kebenaran me-nyambung semula latihan memberi sinar harapan buat semua skuad Liga Premier untuk menyambung semula perlawanan yang tertangguh sejak tiga bulan lepas.

Jelasnya, jika Liga Premier disambung semula tanpa penonton, pasukan Sarawak akan lebih terkesan berbanding pasukan lain kerana menelan kos yang agak tinggi.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Ab Ghani Hassan mengesahkan bahawa 16 pasukan Liga Malaysia telah mendapat kelulusan MFL untuk mengadakan sesi latihan fasa pertama.

Pasukan-pasukan berkenaan mendapat lampu hijau selepas melengkapkan beberapa dokumen yang diperlukan MFL selaku pentadbir Liga M.

Ujarnya, lapan pasukan daripada Liga Premier iaitu Negeri Sembilan, Kuching FA, Selangor II, JDT II, TFC II, Pulau Pinang, Perak II dan Kuala Lumpur. Manakala empat pasukan masih belum menghantar permohonan iaitu Kelantan, Kelantan United FC, UKM FC dan Sarawak United FC II.