LUNDU: PBB Tanjung Datu bersiapsiaga menghadapi sebarang kemungkinan jika PRU Ke-15 atau PRN Ke-12 jika diadakan dalam masa terdekat mengikut norma baharu dan SOP Covid-19.

Adunnya Datuk Amar Jamilah Anu berkata demikian ketika mempengerusikan Mesyuarat Ahli Jawatankuasa PBB Cawangan Tanjong Datu Tahun 2020 di Dewan Serbaguna Mahligai Gading Lundu kelmarin.

Jamilah turut mengucapkan terima kasih kepada badan induk, wanita, pemuda dan beliawanis Tanjong Datu yang sentiasa bekerjasama antara satu-sama lain dan sentiasa bersedia dalam apa jua keadaan.

“Kerjasama ini terlihat bila negara kita dilanda Covid-19 dan semua itu tidak menghalang masing-masing memainkan peranan untuk membantu rakyat di Tanjong Datu.

“Kita akan terus menyokong kepimpinan Ketua Menteri juga Presiden PBB dan Presiden GPS kerana sentiasa prihatin dan menjaga kepentingan rakyat lebih lagi sewaktu negara di landa wabak Covid-19.

“Ini membuktikan hanya GPS yang menjadi tulang belakang Kerajaan Sarawak yang sentiasa menjaga kebajikan rakyat Sarawak dengan segala sumbangan dan inisiatif yang diperkenalkan sepanjang tempoh PKP.

“Inilah parti yang akan kita undi nanti,’’ ujarnya sambil menunjukkan lambang Burung Kenyalang pada parti GPS. Dalam mesyuarat itu, penerangan mengenai PBB dan GPS dengan norma baharu termasuk panduan pencegahan Covid-19 bagi pelaksanaan PRU dan Pilihan Raya Kecil (PRK), senario politik terkini dan perancangan strategik ke arah PRN diadakan.

Ini termasuk penerangan mengenai perkembangan jerayawara GPS Tanjong Datu dan Program Perumahan Rakyat Miskin Sarawak (PPRMS) Tanjong Datu. Dalam mesyuarat itu, Jamilah turut menyerahkan kit kempen GPS dan kain PBB kepada beliawanis Tanjong Datu.

Hadir sama, Pegawai Tugas-Tugas Khas kepada Ketua Menteri, Helmi Hazemi. Timbalan Ketua Cawangan PBB Tanjong Datu, Abu Seman Karim, Naib Ketua, Pemanca Benjamin Gersit Jais, Setiausaha Cawangan, Abdul Razak Abdul Wahab, Ketua Wanita, Fatimah Abdullah dan Ketua Pemuda, Azizul Annuar Pehin Sri Haji Adenan Satem.