KUCHING: Sehingga kini sebanyak 300 orang usahawan tempatan di Sarawak menyertai Agro Bazar Online (ABO) yang dikendalikan oleh Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama).

Ketua Unit IAT dan Pemasaran Online Fama Joblee Nahri berkata, Fama memainkan peranan dalam membantu usahawan memasarkan produk mereka secara dalam talian.

“Platform ABO ini sebenarnya sudah lama ditubuhkan, tetapi sekarang ia platform yang semakin popular digunakan oleh ramai usahawan. “Oleh itu, program hari ini dianjurkan untuk mempromosikan produk-produk yang dibangunkan oleh usahawan dalam talian supaya orang awam dapat melihat sendiri kualiti produk yang dijual usahawan tempatan,” ujarnya ketika ditemui Suara Sarawak di sini, kelmarin.

Joblee Nahri menambah, Program Sudut IAT dan ABO itu juga turut mempromosikan pelbagai produk usahawan dari Miri, Betong, Sarikei dan Sri Aman termasuk Kuching.

“Bagi usahawan yang jauh dari Kuching, kedai ABO Jalan Matang Jaya ini akan dijadikan ‘pick  up point’ kepada pelanggan untuk mengambil produk yang mereka beli. “Fama giat membantu para usahawan mempromosikan produk mereka menerusi pelbagai saluran media seperti Facebook, WhatsApp dan akhabar,” ujarnya.

Jelasnya lagi, produk usahawan tempatan Sarawak juga turut dipromosikan ke Semenanjung Malaysia. “Setiap produk yang dibangunkan oleh usahawan tempatan akan diuji di makmal terlebih dahulu untuk mendapatkan tahap nutrisi produk tersebut.

“Tahap nutrisi produk yang dibangunkan oleh usahawan sentiasa dipantau oleh Fama agar kualiti produk tersebut terus terjamin,” katanya.

Sekitar 20 orang usahawan tempatan mempromosikan produk masing-masing seperti gula apong, sambal pelbagai perisa, lumek gula apong, kerepek, kuih tradisional, rempah tradisional, produk tenusu dan sebagainya.