KUCHING: Kerajaan Sarawak melalui Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) komited membantu pertanian di negeri ini ketika krisis pandemik Covid-19. P

engarah Fama Sarawak, Datuk Dr. Mat Sani Hassan berkata, Kerajaan Sarawak telah memperuntukkan RM200,000 untuk mereka membeli hasil pertanian di seluruh negeri ini.

“Sehingga kini 90 peratus peruntukan telah digunakan untuk membeli hasil tani, kami sangat berterima kasih dengan bantuan sebegini. “Bagi usahawan yang mendaftar dengan PBT, kerajaan telah memperuntukkan RM1,500 dan kita dalam proses memberikan bantuan tersebut.

“Bagaimanapun, terdapat masalah peniaga yang tidak mempunyai akaun Sarawak Pay,” katanya. Jelasnya, pihak mereka akan berbincang dengan DBKU untuk melihat teknologi dan pendekatan lain bagi membantu usahawan terbabit.

“Alhamdulillah, menerusi bantuan sebegini saya tidak mendengar lambakan hasil pertanian dan semua dapat dijual dengan baik. “Item yang yang mendapat permintaan ialah tembikai, nanas, limau madu dan kelapa. Kita membeli dan diedarkan di seluruh Sarawak,” ujarnya.

Beliau mendedahkan, pihak mereka juga mengimport barangan ke Sarawak seperti bawang dan kentang untuk diedarkan kepada pemborong. “Untuk barangan yang diimport juga, ia tidak mengalami kekurangan bekalan,” jelasnya lagi.

Terdahulu, ketika krisis pandemik Covid-19 arahan bagi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah dikuatkuasakan pada 18 Mac dan ia menyebabkan banyak sektor ekonomi diarahkan tutup. Ekoran itu, kerajaan telah mengeluarkan bantuan atau insentif bagi membantu rakyat khususnya mereka yang putus sumber pendapatan.