MIRI: Ahli Persatuan Wartawan Sarawak Utara (NSJA) mendapat elaun sebanyak RM200 untuk pemeriksaan kesihatan bagi tahun 2020. Menurut presidennya Andy Jong, pemberian elaun yang dilaksanakan sejak 2016 dengan pembayaran maksimum RM100 untuk setiap dua tahun telah dinaikkan kepada RM200 setahun pada tahun lepas.

“Ahli persatuan hanya perlu menunjukkan resit rasmi pemeriksaan kesihatan kepada NSJA untuk menuntut elaun sehingga RM200 dalam satu resit. “Elaun ini boleh ditebus dengan menggunakan resit rasmi dari mana-mana makmal atau pusat perubatan di mana mereka melakukan pemeriksaan,” katanya dalam satu kenyataan kelmarin.

Tambannya, resit atau invois boleh dituntut dari tarikh 1 Januari hingga 31 Disember tahun ini.

“Bagi yang melakukan ujian melebihi RM200, mereka perlu membayar caj tambahan,” jelas Andy. NSJA juga berterima kasih kepada Menteri Pengangkutan Datuk Lee Kim Shin yang memberikan sumbangan sebanyak RM10,000 untuk melaksanakan elaun pemeriksaan kesihatan pada tahun ini.

Kim Shin yang juga Adun Senadin turut mengingatkan para wartawan bahawa kesihatan adalah sesuatu yang tidak boleh dipandang remeh.

“Pekerjaan seorang wartawan mempunyai tekanan kerana waktu kerja yang tidak menentu. “Oleh itu, para wartawan mesti menjalani pemeriksaan kesihatan secara berkala atau sekurangkurangnya sekali setahun untuk memastikan mereka dalam keadaan sihat,” katanya.

Beliau menambah, pemberian bantuan daripada kerajaan itu adalah tanda sokongan kepada NSJA agar ahlinya dapat menjalani pemeriksaan kesihatan.

Ditubuhkan pada tahun 1974, NSJA mempunyai lebih daripada 100 ahli terdiri daripada pengamal media cetak yang mewakili akhbar Melayu, Inggeris dan Cina serta wakil media elektronik yang ditempatkan di bahagian utara Sarawak.