KOTA SAMARAHAN: Kerja-kerja pembinaan laluan terputus yang menghubungkan Jalan Sibu ke Kapit siap mengikut jadual dan dijangka siap pada Oktober tahun ini.

Menteri Muda Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Datuk Julaihi Narawi berkata, perkembangan terkini projek itu setakat Mei lalu bagi laluan Ngemah-Temalat sepanjang 9.5 kilometer mencapai 76.2 peratus berbanding 77 peratus yang dijadualkan.

“Justeru, kita memantau rapat perkembangan projek berkenaan agar ia mengikut jadual,” katanya ketika diminta mengulas mengenai perkembangan pembinaan laluan tersebut pada majlis menaik taraf Laluan 8101 Jalan Datuk Mohd Musa di sini yang disempurnakan oleh Menteri Kanan Infrastruktur Datuk Seri Fadillah Yusof.

Sementara itu Fadillah berkata, pembinaan laluan terputus Jalan Sibu-Kapit di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar sepanjang 9.5 kilometer.

“Kerja-kerja pembinaan projek berkenaan terganggu akibat perubahan Kerajaan Persekutuan dan kini disambung semula.

“Bagi laluan terputus bagi Jalan Ngemah-Temalat merupakan sebahagian daripada 83 kilometer Jalan Kanowit-Kapit yang menghubungkan Bandar Sibu,” ujarnya.