KUCHING: Tindakan dua lelaki menceroboh masuk di bangunan rumah burung Walit berhampiran Kilometer 25, Jalan Bako membawa padah setelah aksi mereka diketahui pemilik premis menerusi Kawalan Kamera Litar Tertutup (CCTV), pada Ahad.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuching, Supt Merbin Lisa berkata, pihaknya menerima aduan berhubung insiden sekitar jam 5.15 pagi sebelum mengerahkan pasukan peronda (MPV) segera ke lokasi kejadian.

Menurutnya, kedua-dua suspek cuba melarikan diri dengan terjun daripada rumah burung tersebut namun salah seorang daripadanya berjaya ditangkap manakala seorang lagi suspek berjaya melarikan diri.

“Tangkapan awal berjaya menahan seorang lelaki warga tempatan berusia 20-an.

“Pasukan berjaya menemui barang disyaki curi serta peralatan untuk memecah masuk termasuk kurang 1 kg sarang burung walit seberat hampir satu kilogram, sebilah pisau, lampu suluh, skru driver, pemotong wayar, besi panjang dan seutas jam tangan di dalam beg yang disandang suspek,” jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya, suspek telah dibawa ke Hospital Umum Sarawak bagi mendapatkan rawatan susulan mengalami cedera kecil dipercayai akibat terjun daripada rumah burung terbabit.

Ulasnya, semakan rekod lampau mendapati suspek mempunyai tiga rekod lampau iaitu satu rekod jenayah curi dan 2 kes dadah iaitu positif bahan terlarang.

Tambah Merbin, ujian saringan awal air kencing turut mendapati suspek positif dadah Methamphetamine.

Susulan itu, katanya, suspek kini dalam perintah tahanan reman selama lima hari sehingga 4 Julai 2020.

Sementara itu, suspek kedua berusia 30, berjaya dikesan dan diberkas oleh sepasukan Jabatan Siasatan Jenayah(JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah(IPD) Kuching pada pagi isnin di sebuah rumah tidak bernombor di kawasan Bako Kuching.

“Turut dirampas adalah pakaian yang digunakan semasa melakukan kejadian pecah masuk dan curi rumah burung Walit tersebut.

“Suspek akan direman di Mahkamah Majistret Kuching hari ini,” jelasnya.

Dedahnya, Semakan rekod lampau mendapati suspek mempunyai tujuh rekod jenayah dan kesemuanya melibatkan jenayah harta benda.

Tambah Merbin, ujian saringan awal air kencing turut mendapati suspek positif dadah jenis Methamphetamine.

Tegas beliau, kes kini disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan suspek boleh dihukum penjara lima tahun sehingga boleh dilanjutkan kepada 14 tahun atau denda dan sebat jika sabit kesalahan.

Dalam pada itu, beliau turut menyeru masyarakat setempat agar dapat memberi kerjasama untuk membanteras jenayah dengan menyalurkan maklumat yang tepat dan cepat kepada pihak polis tentang kes salah laku atau kejadian jenayah di sekitar kawasan berdekatan.