SARIKEI: ADUN N.45 Repok, Dato’ Sri Huang Tiong Sii menyumbang dua lagi katil boleh laras bagi membantu meringankan beban rakyat di kawasannya yang sakit terlantar.

Penerima terbaharu, Awangku Suhaimi Awangku Mashor, 48, dan seorang warga emas, Poi Leong Seng, 79, di Jalan Bunga Raya di sini.

Difahamkan Awangku Suhaimi baharu selesai menjalani rawatan hospital dan Leong Seng pula terlantar uzur. Kedua-dua mereka kini memerlukan penjagaan sepenuhnya ahli keluarga masing-masing.

Penghantaran sumbangan disempurnakan petugas Pusat Khidmat DUN N.45 Repok, semalam.

Pada masa yang sama, mereka turut membantu memasang dan memberi tunjuk ajar cara pemasangan katil berkenaan.

Pemberian sumbangan itu merupakan salah satu pendekatan Huang untuk menyantuni penduduk Repok khususnya mereka yang terlantar uzur dan kurang berkemampuan.

Setakat ini wakil rakyat itu menyumbang lebih 100 buah katil boleh laras kepada penduduk yang memerlukan.

Sehubungan itu beliau berharap sumbangan tersebut membantu meringankan beban penerima dan keluarga mereka.

“Saya sentiasa mendoakan penerima yang diuji dengan ujian kesihatan ini segera sembuh. Semoga sumbangan ini dapat mengurangkan bebanan mereka,” ujar Huang.

Hadir sama, Ketua Cawangan PBB Repok, Mathias Raya Genam, Ketua Wanita PBB Repok, Dainah Hassan, Setiausaha Wanita PBB Repok, Joneh Rosli dan Pemuda PBB Repok, Fadzardi Anuar.