KUCHING: Orang ramai dialu-alukan untuk menderma darah kepada Tabung Darah Hospital Umum Sarawak (HUS) sehingga penghujung bulan ini.

Datuk Bandar Kuching Selatan Datuk Wee Hong Seng berkata, walaupun kini PKPP dilaksanakan Sarawak masih belum bebas Covid-19, pihak kesihatan masih memerlukan darah yang mencukupi untuk menampung keperluan hospital.

“Ini juga salah satu cara untuk menunjukkan bahawa masyarakat kita terutamanya di Kuching masih ada yang bersifat penyayang dan prihatin,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Penyampaian Sijil Penghargaan Penutupan Pusat Derma Darah Alternatif Tabung Darah HUS di Dewan Masyarakat MBKS di sini, kelmarin.

Dalam hal berkaitan, Ketua Jabatan Perkhidmatan Transfusi dan Bank Darah HUS Dr Mohammad Masrin Md Zahrin berkata, setakat 27 Jun mereka berjaya mengumpul 2,565 pain darah.

“Pada hari ini, kami mensasarkan 250 pain dikumpul untuk menjadikan ia sebanyak 2,700 pain. “Oleh itu, kami meminta sokongan orang ramai untuk terus datang menderma darah tidak kira anda selalu menderma ataupun yang baru hendak menderma,” jelasnya.

Mohamad Masrin berkata, HUS memerlukan paling kurang 70 pain darah sehari, tidak termasuk hospital lain. “Setakat ini, stok darah masih pada tahap memuaskan tetapi kami masih memerlukan sokongan berterusan daripada masyarakat.

“Jika tiada orang datang menderma, ia akan jatuh ke tahap yang tidak memuaskan kerana darah tidak dapat disimpan untuk tempoh yang lama,” jelasnya lagi.

Untuk rekod, kempen derma darah tersebut telah berlangsung pada 24 Mac dengan garis panduan yang ketat seperti yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).