PADAWAN: Timbalan Menteri Perusahaan Ladang dan Komoditi Willie Mongin menyarankan penduduk di Puncak Borneo untuk mengusahakan tanaman koko.

Katanya, pengusaha koko yang telah meninggalkan ladang mereka agar kembali menanam koko yang mempunyai potensi besar. Menurutnya, kementerian telah memperkenal program pembangunan rantaian kluster koko di  Sarawak yang berupaya meningkatkan keupayaan biji koko dan pendapatan pengusaha daripada kalangan penduduk setempat.

Kata Willie, kerajaan telah memberi peruntukan sebanyak RM 2.69 juta kepada 4,566 pekebun kecil koko di Malaysia dalam rangsangan ekonomi Prihatin 2020.

Tambahnya, daripada jumlah itu, seramai 1,140 pekebun kecil koko di Sarawak layak mendapat bantuan itu. “Kerajaan sentiasa berusaha untuk bekerjasama di peringkat antarabangsa untuk membincangkan harga komoditi khasnya koko dengan pengeluar-pengeluar yang lain.

“Kita juga ingin memperkenal spesies koko daripada baka bermutu tinggi yang mempunyai rasa, aroma yang berkualiti dan unik,” kata Willie ketika menghadiri taklimat potensi industri koko dan promosi penyertaan Koperasi Kluster Koko Sarawak Berhad di Dewan Serbaguna Kampung Bratan, Asah, Padawan kelmarin.

Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Lembaga Koko Malaysia (LKM), Dr. Ramle Kasin. Para peserta yang menghadiri taklimat itu turut mendapat input pertanian sebanyak RM700.

Dalam pada itu, Willie berkata industri tanaman koko tempatan harus disemarakkan semula kerana penanam koko memperoleh harga yang rendah di peringkat huluan, berbanding hiliran dan jurang itu harus dirapatkan untuk membantu pekebun kecil koko.

“Sebab itu kita tubuhkan koperasi penanam Koko Berhad ini agar kita boleh membantu mereka menjadi ahli dan kita akan membeli biji koko ini. Kita akan membuat pengredan dan jual kepada pengisar dan keuntungan itu boleh beri balik dari segi dividen dan bonus kepada penanam koko ini.

“Koperasi ini telah memperoleh lesen untuk memulakan perniagaan. “Kita akan membuat perjanjian persefahaman MoU dengan Suruhanjaya Koperasi Malaysia. Kita akan menformalkan semua aspek pengurusan dan tatacara kita menjalankan perniagaan,” jelas Willie. Katanya lagi, koperasi tersebut merupakan koperasi yang terpimpin.