BELADIN: Adun Beting Maro Razaili Gapor memiliki ‘keluarga besar’ yang sentiasa berusaha keras untuk memastikan kawasan ini kekal menjadi milik parti PBB khususnya dan GPS amnya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Ia berikutan kejayaan Razaili menyatupadukan semua ahli-ahli PBB, jelas Naib Ketua PBB Cawangan Mohidin Bolhassan.

“Saya nampak, tiada lagi sentimen pemimpin lama atau baharu. Kesemua ahli parti menyokong sepenuhnya wakil rakyat sedia ada.

“Secara jujur, penyatuan ini merupakan kejayaan besar Razaili dan sudah pasti rakyat tidak menginginkan orang lain untuk mengemudi Beting Maro selepas ini,” katanya kepada Suara Sarawak selepas menghadiri Bengkel Gerak Kerja Persediaan PRN Dun Beting Maro, kelmarin yang turut disertai Razaili sebagai Ketua Cawangan dan Timbalan Ketua PBB Cawangan Awang Sarbini Gapor.

Jelas Mohidin, sokongan terhadap Ahli Majlis Tertinggi PBB itu tidak harus dipertikaikan lagi. Razaili katanya, sentiasa bergaul dengan rakyat di pelbagai peringkat mendengar sendiri luahan atau isi hati akar umbi.

“Rata-rata mereka tidak berselindung menyatakan sokongan kepada wakil rakyat sedia ada, lebih-lebih lagi Razaili berjaya membawa banyak pembangunan.

Malah, Razaili juga anak jati Beting Maro. “Kadang-kadang saya terharu mendengar luahan rakyat berbanding mula-mula beliau bertanding pada PRN 2011 lalu.

“Justeru, rakyat pastinya tidak mengharapkan pengemudi lain atau muka baharu untuk mewakili kami di sini,” ujarnya.

Mohidin mengharapkan sokongan padu semua pihak akan memastikan Dun Beting Maro dan Daerah Pusa terus maju. Beliau dalam pada itu mengingatkan ahli parti untuk bersedia, mengutamakan sifat ikhlas serta berazam memastikan kemenangan lebih besar PBB dan GPS di kerusi Beting Maro.

“Kita tidak tahu bila PRN, tetapi biarlah kita menyiapkan diri untuk memastikan kemenangan pasukan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg ini misi kita,” tegasnya.