DISEBALIK ancaman wabak Covid-19, teknologi digital kini menjadi keperluan tanpa kita sedari.

Kita juga tidak menyangka ancaman wabak ini mempercepatkan lagi proses menuju ke arah Revolusi Industri 4.0.

Sebagai contoh, penggunaan e-dompet dan mesyuarat melalui alam maya menjadi keperluan dalam kalangan masyarakat.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Blockworq Sdn Bhd Effendy Zulkifly, beliau mengatakan wabak Covid-19 memberi kesedaran awal untuk tidak menangguhkan pelaksanaan teknologi digital.

“Pelaksanaan teknologi digital bukan lagi satu pilihan tetapi keterpaksaan dalam keadaan perlunya ada jarak fizikal, dan tidak boleh bersemuka dalam banyak aktiviti,” katanya.

Effendy berkata pengguna di negara ini antara pengguna media sosial tertinggi di Asean dan penggunaan e-dagang paling tinggi di rantau ini.

Potensi ekonomi digital

Tambahnya, pengguna di negara ini antara pengguna media sosial tertinggi di Asean dan penggunaan e-dagang paling tinggi di rantau ini.

“Disebabkan ancaman wabak Covid-19 ini, usahawan dan rakyat awam mula sedar kepentingan teknologi digital dalam kehidupan mereka,” ujar Effendy.

Katanya, mereka juga turut sedar kepentingan teknologi digital untuk berkomunikasi dan berjual beli secara digital disebabkan keterbatasan pergerakan mereka oleh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Kemajuan teknologi digital mampu memberangsangkan lagi ekonomi negara serta menjadikan sektor pengeluaran lagi efektif dan efisien,” jelas Effendy.

Selain itu, pengeluaran lebih efektif dan efisien kerana robotik dan kecerdasan buatan lebih cekap dan tidak tidur, tidak letih dan melakukan tugas lebih efektif.

Ahmad Suboh Salleh, 52, mengisi cecair racun perosak ke dalam tangki khas dron sebelum semburan dilakukan di petak sawah sekitar Kampung Paya Kerchut. – Foto Bernama.

Persediaan Ke Arah Digital

Menurut Effendy, prasana untuk Revolusi Industri 4.0 semakin baik melalui penjenamaan Industri 4.0 kepada Industri Forward yang dilancarkan secara rasmi pada 2018.

“Untuk menubuhkan asas pengilangan selari Industri 4.0, kerajaan menubuhkan membangunkan garis panduan penilaian kesediaan Industri4WRD,” katanya.

Tambah Effendy, garis tersebut bagi membolehkan negara ini mempunyai teknologi digital dan dibangunkan secara profesional melalui kepakaran Industri 4.0.

Ini membuktikan kerajaan begitu serius dan komited dalam membangunkan teknologi digital di dalam negara ini supaya tidak ketinggalan dalam Revolusi Industri 4.0.

Selain itu, Revolusi Industri 4.0 banyak memberi manfaat tanpa mengira lapisan masyarakat terutama dari segi pendapatan.

Sinar Harapan Baharu

Effendy berkata Revolusi Industri 4.0 membawa sinar harapan baharu kepada mereka terlibat dalam e-dagang.

“Penghijrahan ke teknologi alam maya atau e-dagang membuka peluang ekonomi untuk rakyat Malaysia,” jelasnya.

Tambah Effendy, kewujudan e-dagang membolehkan orang ramai menjual dan membeli barangan melalui aplikasi tertentu dengan kos yang lebih murah berbanding di kedai.

“Peluang pekerjaan juga dapat diwujudkan malahan memudahkan pelbagai aspek kehidupan masyarakat melibatkan perniagaan, pendidikan, perkilangan kerana segalanya digital dan berasaskan teknologi,” katanya.

Ini menunjukan teknologi digital bakal menjadi revolusi bukan sahaja di seluruh dunia malah juga di negara ini.

 Ancaman wabak Covid-19 ini menyedarkan usahawan dan rakyat awam akan kepentingan teknologi digital dalam kehidupan mereka.