Abang Johari: Saya janji, saya tunaikan

SIBU: Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg menegaskan, janjinya kepada penduduk Sibu sejak menyandang jawatan Ketua Menteri tiga tahun lepas sudah ditunaikan.

Beliau berkata, antaranya ialah membina Jalan Kong Yit Khim-Sibu Jaya, kini sedang dilaksanakan dan bakal merancakkan lagi sektor insfrastruktur di negeri ini.

“Kunjungan saya ke Sibu hari ini (kelmarin) adalah untuk melihat sendiri perkembangan projek yang saya janjikan dulu.

“Ia tetap dilaksanakan demi manfaat penduduk Sibu, sekali gus dapat meningkatkan ekonomi penduduk setempat,” katanya pada sidang media selepas meninjau Projek Rumah Spektra Permata (RSP) di Jalan Kemuyang, kelmarin.

Terdahulu, Abang Johari dan rombongannya telah meninjau tapak projek Jalan Kong Yit Khim-Sibu Jaya sepanjang 6.75km itu.

Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Amar Jaul Samion; Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Transformasi Sosioekonomi) Datuk Seri Mohamad Abu Bakar Marzuki; Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Dr Sim Kui Hian; Menteri Muda Pembangunan Pelabuhan dan Infrastruktur Datuk Julaihi Narawi dan Menteri Muda Kerajaan Tempatan dan Perumahan Dr Annuar Rapaee antara yang turut hadir.

Beliau berkata, Sibu Jaya yang dikenali sebagai bandar satelit di Sibu bakal berkembang pesat selepas siapnya projek jalan dari bandar itu ke Jalan Kong Yit Khim. Menurutnya lagi, projek yang melibatkan kos sebanyak RM100 juta itu dijangka siap menjelang November 2021.

Mengenai RSP di Jalan Kemuyang, Abang Johari berkata, projek tersebut melibatkan 813 lot dan 110 unit rumah yang dilaksanakan Perbadanan Pembangunan Perumahan (HDC) Sarawak. Ia juga merupakan sebahagian daripada 2,500 RSP seluruh Sarawak yang telah diumumkan Ketua Menteri pada tahun lalu.

“Sibu bakal berkembang pesat dengan siapnya projek ini kerana ia akan menghubungkan dua laluan utama yang merentas Sibu iaitu Jambatan Durin dan Jambatan Lanang.

“Ini akan diperhebatkan lagi apabila Jambatan Durin akan menghubungkan Jalan KanowitSong-Kapit yang dijangka siap Oktober atau November tahun ini.

“Jambatan Lanang juga turut menghubungkan Sibu dengan Sarikei, seterusnya Kuching,” jelasnya lagi.

Menurutnya, merancakkan lagi laluan tersebut ialah projek jalan pesisir dan projek Laluan Utama Kedua, yang bakal menghubungkan Sibu-Kuching dalam masa tiga jam sahaja. Seterusnya ujarnya, dari Sibu ia juga akan menghubungkan Kanowit-Song-Kapit dengan jalan raya yang lebih selesa.

Kerajaan tegasnya, sentiasa berusaha untuk membangunkan insfrustruktur di Sibu sebagai laluan kawasan tengah di negeri ini.

Abang Johari berkata, satu lagi laluan iaitu Jalan KemuyangPasai Siong-Teku akan dicadangkan pada Rancangan Malaysia Ke-12 bermula tahun depan. Jelasnya, pada RMK-12, kerajaan akan terus melaksanakan pelbagai projek untuk kemudahan rakyat dalam mengembangkan lagi pembangunan di Sibu.

“Pada RMK12, kita menjangkakan banyak lagi projek yang akan dilaksanakan bermula tahun depan di bawah rancangan tersebut.

“Kita sudah melaksanakannya seperti lawatan saya pada hari ini dan ia akan bersambung dan diteruskan lagi pada RMK12.

“Apa yang penting, kerajaan sentiasa berusaha menunaikan janjinya seterusnya memastikan ia akan dilaksanakan.

“Sekarang janji-janji saya kepada penduduk Sibu telah dapat dilihat dan ia berjalan dengan baik. Pada RMK-12 kita menjangkakan lebih banyak lagi projek-projek lain untuk Sibu,” jelasnya.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak