Bimbang kanak-kanak tidak patuhi SOP

KUCHING: Kesatuan Guru Bumiputera Sarawak (KGBS) bimbang deng keselamatan kanak-kanak di tadika termasuk prasekolah ekoran pengumuman kebenaran beroperasi semula pada 1 Julai depan.

Presiden KGBS Ahmad Malie berkata, perkara itu telah menimbulkan kerisauan dan kesangsian pihak mereka akan keupayaan kanak-kanak untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan.

“Sebenarnya bagi prasekolah kerajaan ia di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), KGBS hanya mendapat maklumat tentang pembukaannya daripada pengumuman Menteri Kanan Kluster Keselamatan Datuk Seri Ismail Yaakob sebelum ini.

“Bagaimanapun, Menteri Kanan Pendidikan Dr Mohd Radzi Md Jidin belum membuat pengumuman berhubung dengan perkara tersebut,” katanya kepada Suara Sarawak, kelmarin.

Jelasnya, KGBS berharap Dr Mohd Radzi kekal dengan keputusan KPM yang hanya membuka sekolah untuk pelajar tingkatan lima dan tingkatan enam sahaja manakala, pelajar yang lain termasuk prasekolah masih menunggu pengumuman lanjut.

“KGBS risau sekiranya KPM turut membuka prasekolah kerana kami berpegang teguh dengan kenyataan KKM bahawa kanak-kanak dan warga emas berisiko tinggi dalam jangkitan Covid-19.

Bagaimanapun, pihak KGBS mengingatkan ibu bapa yang mempunyai anak-anak di peringkat tadika dan prasekolah perlu mempertimbangkan sebaik-baik mungkin risiko berkenaan.

“Perkara tersebut termasuk keputusan untuk menghantar kanak-kanak ke tadika dan prasekolah semula dalam tempoh terdekat ini.

“KGBS turut mengharapkan agar ibu bapa dapat mencari alternatif untuk memastikan bahawa anak-anak mereka tidak terdedah dengan risiko yang sukar kita jangkakan kini.

“KGBS juga tidak menyangkal keputusan yang telah dibuat oleh ibu bapa kerana mereka lebih berhak menentukan keadaan masing-masing,” katanya lagi.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak