Dua bayi terbang dari Sarawak ke Kuala Lumpur

KUCHING: Dua bayi berusia 11 hari dan dua bulan yang memerlukan rawatan segera ke Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur dihantar menerusi penerbangan ihsan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), hari ini.

TUDM dalam satu kenyataan rasmi mengesahkan operasi penerbangan daripada Pangkalan Udara Kuching berlepas pada jam 6.50 pagi dengan menggunakan pesawat pengangkut A400M dari No. 22 Skuadron, ke Pangkalan Udara Subang.

Dedah kenyataan itu, kedua-dua bayi tersebut sebelum ini mendapat rawatan di Hospital Umum Sarawak (HUS) berikutan mengalami masalah jantung.

“Pesakit, Nick Ahmad Shah, 11 hari, mengalami masalah jantung (Partially Obstructed Total Anomalous Pulmonary Vein Drainage).

“Manakala seorang lagi pesakit, Muhamad akid Aqil yang berusia dua bulan menghadapi masalah jantung (Congenital Heart Disease of Transposition of Great Arteries),” jelas kenyataan itu.

Tambahnya, pesawat tersebut diterbangkan oleh Kapt Mohd Fitrie Idham Kamaruddin dan pembantu juruterbang, Kapt Muhd Izwan Noor Azman serta dibantu oleh enam anak kapal.

Penerbangan turut diiringi pegawai dan petugas perubatan daripada HUS.

Dalam pada itu, kenyataan itu mewakili seluruh warga TUDM mendoakan agar kedua-dua bayi tersebut dapat menjalani rawatan serta diberi kesembuhan dan kembali sihat seperti sedia kala.

IHSAN…Pesawat pengangkut A400M dari No. 22 Skuadron membawa Nick dan Akil ke Pangkalan Udara Subang
 
Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak