Import beras negara tidak terjejas

ALOR SETAR: Bekalan import beras negara tidak terjejas walaupun dunia berdepan pandemik Covid-19 ketika ini, kata Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee.

Beliau berkata, tiada aduan diterima daripada pengim port tunggal beras negara Padiberas Nasional Berhad (Bernas) mengenai perkara itu dan beliau memberi jaminan bekalan beras import serta pengeluaran dalam negara mampu menampung keperluan.

“Kita tiada masalah… tentang sekatan, walaupun dilaporkan ada negara yang tidak membenarkan eksport tetapi kita tidak menghadapi masalah mengimport beras untuk keperluan kita.

“Kita masih mengeluarkan beras sebanyak 70 peratus dan mengimport 30 peratus untuk keperluan kita, tiada masalah yang dilaporkan oleh pengimport tunggal negara untuk membawa masuk beras ke negara kita dari negara-negara yang menjadi pengeksport beras,” katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan kerja ke ibu pejabat Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) di sini.

Beliau diminta mengulas sama ada negara berdepan masalah untuk mengimport beras dari negara pengeksport susulan pandemik Covid-19.

Mengulas impak PKP terhadap hasil pengeluaran beras negara, Kiandee berkata, aktiviti tanaman dan penuaian padi berjalan lancar kerana industri itu dikategorikan sebagai penting dan dibenarkan beroperasi oleh kerajaan.

“Mengenai impak PKP terhadap beras, saya boleh katakan tiada impak, kita masih mengeluarkan beras (dalam tempoh PKP).

Kalau kita tengok dalam tempoh PKP itu, ia berlaku sewaktu tempoh penuaian di negeri Selangor dan proses menuai itu berjalan lancar dan tiada gangguan.

“Jadi, musim itu berbeza iaitu di awal PKP ialah pengeluaran beras dan ketika ini, di Kedah pula ialah penanaman semula padi.

Jadi secara keseluruhannya, tiada kesan terhadap pengeluaran padi sepanjang PKP,” ujarnya.

Kiandee juga berkata, kerajaan memperuntukkan RM11.2 juta di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE 1) dan RM5.4 juta lagi menerusi Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin (Prihatin) kepada MADA untuk membantu agensi itu dalam pasca-Covid-19.

Beliau berkata, peruntukan di bawah PRE 1 memfokus kepada program meningkatkan pendapatan peladang dan penambahbaikan infrastruktur pengairan. “Di bawah PRE Prihatin pula, peruntukan sebanyak RM200,000 disalurkan kepada setiap Pertubuhan Peladang Kawasan untuk membangunkan projek agromakanan jangka pendek yang secara keseluruhan memberi manfaat kepada 1,810 peladang MADA,” katanya. – Bernama


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak