Jual midin untuk sesuap nasi

KUCHING: Kerjasama berterusan pihak kerajaan, NGO dan orang perseorangan sebagai satu pasukan amat diperlukan, dan pada masa yang sama perlu melalui saluran betul dalam membantu golongan memerlukan.

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, ini kerana kebajikan masyarakat merupakan tanggungjawab semua pihak.

Sehubungan itu tegasnya, setiap kampung, rumah panjang dan kawasan perumahan perlu mempunyai profil lengkap status ekonomi setiap keluarga bagi memudahkan pihaknya mendapatkan maklumat dan penyaluran bantuan.

“Ini termasuk bilangan isi rumah, ketua isi rumah, keadaan rumah, tahap pendidikan dan paling penting dari sudut ekonomi.

“Dengan ini tindakan lanjut dapat diambil oleh ketua masyarakat dan ketua kaum. Mereka akan dapat menyalurkan maklumat itu kepada pihak berwajib mengikut jenis bantuan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media ketika melakukan lawatan ke sebuah rumah penduduk miskin bandar, Rombli Jusni, 63, di Taman Won, di sini pada Selasa.

Fatimah turut menggalakkan masyarakat membantu golongan memerlukan dengan membaiki rumah dan sebagainya demi kesejahteraan rakyat.

“Paling penting ada maklumat disalurkan kepada kami. Dengan ini, kami dapat melihat keperluan dan seterusnya disalurkan oleh agensi dan badan yang dapat memenuhi keperluan tersebut,” ujarnya.

Dalam lawatan itu, beliau memaklumkan kementeriannya menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat akan membuat pertimbangan mengenai pemohonan bantuan kepada Rombli termasuk bantuan RM300 sebulan di bawah Skim Bantuan Warga Emas bermula Julai ini.

Jelasnya lagi, Rombli yang menjual sayur midin untuk meneruskan kelangsungan hidup keluarganya kini menetap di rumah usang di tanah milik surau.

Beliau juga akan berusaha menyediakan Skim Bantuan Baik Pulih Rumah daripada Kerajaan Sarawak kepada mereka.

“Kami akan berbincang dengan pihak berwajib mengenai perkara ini,” katanya.

Rambli tinggal di sini bersama-sama isteri dan lapan anak.

“Kami juga akan fokus kepada keperluan anak-anak dan cucu Rombli yang masih bersekolah.

Kami berharap mereka tidak tercicir persekolahan. “Pada Sabtu ini, kami akan bawa anak-anak ini untuk pergi membeli keperluan persekolahan,” katanya.

Melalui projek Helping Unfortunate Groups and Society (HUGS), kini Rombli sekeluarga akan dibantu dengan membaik pulih rumah dan dana terkumpul untuk mereka kini melebihi RM15,000 hasil sumbangan masyarakat dan proses ini akan dilaksanakan secara berperingkat.

Suara Sarawak