Latihan industri inisiatif perkasa pelajar

KUCHING: Latihan industri banyak memberi manfaat kepada pelajar institusi pengajian tinggi lebih-lebih lagi universiti awam kerana ia satu inisiatif memperkasa pelajar dalam kompetensi yang diperlukan.

Akhbar Suara Sarawak telah menerima lawatan Pensyarah Unimas yang bertujuan untuk mengenal pasti kebolehpasaran pelajar Unimas serta melihat sejauh mana pencapaian pelajar Unimas yang telah menjalani latihan industri di syarikat ini.

Kedua-dua pihak juga turut membincangkan mengenai perkembangan semasa dan membuat penilaian para pelajar yang telah menjalani latihan di syarikat Suara Sarawak dan New Sarawak Tribune.

Penyelaras Program Kajian Komunikasi, Dr Siti Zanariah Ahmad Ishak berkata, Unimas mengadakan lawatan latihan industri di Suara Sarawak bertujuan untuk mendengar sendiri penerangan dan cadangan keperluan yang perlu disediakan oleh pelajar sebelum para pelajar menjalani latihan industri.

“Saya juga amat berterima kasih kepada pihak Suara Sarawak kerana telah memberi peluang kepada para pelajar Unimas untuk menjalani latihan industri di sini.

Malah pengambilan pelajar untuk menjalani latihan industri di syarikat ini adalah dalam kuantiti yang banyak.

“Oleh itu, kami barisan pensyarah datang melawat untuk mengetahui beberapa maklumat, cadangan dan maklum balas yang perlu diketahui untuk kegunaan pada masa akan datang,” ujar beliau.

Beliau berkata, setiap pelajar yang menjalani latihan industri perlu sentiasa berdisiplin, mendengar arahan dan nasihat daripada pihak atasan.

Malah mesti melaksanakan tugasan yang diberikan dengan sebaiknya.

“Kita perlu menggangap bahawa lawatan kali ini adalah satu peluang yang bernilai untuk mengetahui kecenderungan pelajar dan berharap peluang tersebut dapat meningkatkan kebolehan mereka dalam bidang penulisan.

“Saya berharap dengan peluang yang diberikan, para pelajar dapat memanfaatkannya dengan sebaik mungkin dan peluang untuk para pelajar menceburi bidang penulisan akan terbuka luas.

“Selain itu, kolaborasi secara langsung dan tidak langsung antara Unimas dengan Suara Sarawak dapat membentuk kerjasama yang mantap.

Malah ia dapat memberi manfaat kepada pelajar Unimas yang ingin menjalankkan latihan industri di syarikat ini.

Lawatan industri tersebut turut dihadiri oleh Timbalan Dekan Fakulti Bahasa dan Komunikasi Malia Taibi dan Penyelaras Program Komunikasi, Khadijah Mohamad Tuah.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak