Mayat salah seorang tragedi  bot karam ditemui pagi ini

TANJUNG MANIS: Mayat salah seorang daripada dua mangsa tragedi bot karam dijumpai terdampar di pantai Belawai pada 6.44 pagi tadi.

Mayat Ibrahim Abang Resdi, 52, ditemui kira-kira satu kilometer dari tempat kejadian.

Dalam pada itu, pasukan penyelamat turut menemui perahu yang digunakan mangsa.

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) kini sedang dipergiatkan bagi mengesan seorang lagi rakan mangsa yang masih hilang.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.30 malam tadi, dua pemancing dilaporkan hilang selepas bot yang dinaiki mereka karam dipukul ombak di Tanjung Melubak, Belawai.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak memberitahu, kedua mangsa dilaporkan memancing bersama pemancing lain dengan menaiki perahu yang berasingan dalam kejadian kira-kira 7.30 malam itu.

Menurutnya, setiap perahu termasuk perahu mangsa masing-masing dinaiki oleh dua orang.

“Sehubungan itu, semua pemancing lain yang menaiki 10 buah perahu lain selamat, namun perahu mangsa masih belum dijumpai.

“Kita menerima laporan berhubung kejadian ini pada 9.29 malam namun operasi tidak dapat dijalankan kerana cuaca hujan lebat dan ombak besar,” katanya.

 
Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak