Mengambil iktibar Kluster Kidurong

DAERAH Bintulu kini bertukar menjadi zon kuning setelah kemunculan kluster baharu Covid-19 dikenali sebagai Kluster Kidurong.

Kluster Kidurong dikesan membabitkan enam kes positif Covid-19 setakat analisis ini ditulis, dengan kes indeks melibatkan seorang penuntut institusi pengajian tinggi awam (IPTA) yang dikesan positif pada 12 Jun lalu.

Pengesanan kes secara aktif mendapati ahli keluarga beliau turut dikesan positif Covid-19. Mereka ialah ibu, bapa dan dua adik-beradik penuntut terbabit. Susulan itu, siasatan dan saringan kontak rapat dijalankan ke atas seramai 231 orang yang dikenal pasti.

Daripada jumlah itu, seramai 163 adalah negatif Covid-19. Tiga lagi kes baharu Covid-19 kemudian dikesan menjadikan sembilan kes direkodkan di Daerah Bintulu.

Dua kes merupakan penambahan kepada jumlah kes Kluster Kidurong, Bintulu yang merupakan ahli keluarga dan kontak rapat kepada sekali gus menjadikan jumlah kes Kluster Kidurong setakat hari ini seramai lapan orang.

Manakala satu kes lagi membabitkan seorang lelaki berumur 29 tahun yang mempunyai sejarah bekerja di Mexico sejak bulan Februari 2020. Penambahan bilangan kes baharu Covid19 di Daerah Bintulu amat membimbangkan penduduk terutama dalam kalangan ibu bapa, lebih-lebih apabila kerajaan membenarkan pembukaan semula taska, tadika dan prasekolah.

Walaupun pihak berkenaan diwajibkan mematuhi segala prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan Malaysia, namun, persoalannya adakah kanak-kanak berusia empat hingga enam tahun itu tahu akan makna SOP, walau tidak dinafikan mereka tahu akan bahaya virus Covid-19.

Kerisauan pihak Kesatuan Guru Bumiputera Sarawak mengenai perkara itu adalah wajar ekoran sedar akan keupayaan kanak-kanak untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan.

Seharusnya, pihak Kementerian Pendidikan Malaysia peka bahawa kanak-kanak dan warga emas berisiko tinggi dalam jangkitan Covid-19.

Keputusan untuk menghantar kanak-kanak ke taska, tadika dan prasekolah pada 1 Julai ini bergantung kepada ibu bapa.

Malah tidak sedikit yang memilih untuk tidak menghantar anak mereka, dan memilih untuk opsyen kerja berselang hari antara suami isteri.

Permohonan dibuat kepada majikan untuk tujuan tersebut, agar mereka dapat berada di rumah bersama anak-anak. Selain itu, dalam keadaan biasa, anak-anak yang masih kecil ini tidak suka menggunakan topeng, apatah lagi perisai muka. Dan pastinya, guru-guru tadika akan berhadapan kesukaran untuk mengekalkan mereka menggunakan peralatan keselamatan tersebut sepanjang masa.

Selain itu, kanak-kanak merupakan golongan yang suka mencuba. Semakin dilarang, mereka akan semakin aktif untuk mencuba sesuatu yang baharu.

Apatah lagi jika dilarang untuk bermain dengan rakan sebaya, sesuatu kelaziman yang mereka lalui sebelum ini.

Justeru itu, bermulanya sesi pembelajaran kanak-kanak tadika selepas ini, akan mencabar guru-guru untuk lebih bertegas dan lebih memujuk.

Mereka perlu kreatif untuk memastikan SOP dijayakan tanpa disedari. Apa-apa pun keputusan yang diambil oleh ibu bapa, diharapkan mereka dapat mencari alternatif untuk memastikan bahawa anak-anak mereka tidak terdedah kepada risiko yang sukar kita jangkakan kini.

Sentiasa patuhi SOP yang ditetapkan, jauhi tempat sesak, sentiasa cuci tangan menggunakan air dan sabun, pakai pelitup muka dan pelindung muka.

Kita mendoakan kluster terbaharu di Bintulu ini menjadi kluster terakhir di Bumi Kenyalang.

Memang sukar jika pembawanya tidak menunjukkan gejala. Kerana itu, pematuhan SOP ini cukup penting. #kitajagakita#


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak