Mudahkan pembangunan tenaga kerja

KUCHING: Pusat Pembangunan Kemahiran Sarawak (PPKS) melancarkan satu program rangkaian baharu dalam talian bagi memudahkan pembangunan tenaga kerja, kelmarin.

Pengerusinya Tan Sri Abdul Aziz Datuk Husain berkata, inisiatif tersebut merupakan sebahagian dari Pelan Mitigasi Kemahiran Sarawak.

Menurutnya, pelan ini merangkumi pelbagai inisiatif untuk melindungi kepentingan dan kesejahteraan pelajar, pelatih, anggota kakitangan dan pelbagai pihak yang berkepentingan.

“Disebabkan pandemik Covid-19 dan permulaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac lalu, PPKS melaksanakan pengajaran dan pembelajaran dalam talian di seluruh kampus dan pusat pembelajaran di Kuching, Mukah dan Miri.

“Penggunaan bilik darjah maya melalui platform E-Learn Sarawak Skills, Google Classroom, Google Meet, WhatsApp dan Zoom ternyata telah mengubah ekosistem pengajaran dan pembelajaran di PPKS,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Abdul Aziz, dengan pelancaran program dalam talian termasuk pelbagai program peningkatan kemahiran dan pelbagai kemahiran, pelajar dari Malaysia dan luar negara dapat memperoleh pengetahuan dan kemahiran yang berkaitan dengan industri dalam kelas tanpa sempadan.

Selain itu, pelajar yang terlibat bukan sahaja dapat belajar mengikut rentak sendiri malah mereka turut diberikan e-sijil setelah menamatkan pengajian dalam bidang masing-masing.

“Sejajar dengan situasi yang dialami, pelancaran program dalam talian ini bertepatan dengan strategi ekonomi menjelang 2030 di samping memerangi pasca-Covid-19.

“Pelbagai program yang difokuskan termasuk dalam bidang Pertanian Pintar, Revolusi Industri 4.0, Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (Stem), dan Kepimpinan dan Pengurusan.

“Tindakan ini dapat menyelaraskan pendidikan dan latihan dengan keperluan modal insan dari pelbagai sektor ekonomi,” katanya lagi.

Majlis pelancaran yang diadakan di Ibu Pejabat Kemahiran Sarawak di Tabuan Jaya, Kuching itu turut dihadiri oleh Pengarah Eksekutif Kemahiran Sarawak Hallman Sabri dan anggota pasukan pengurusan. Untuk maklumat lebih lanjut, boleh hubungi atau WhatsApp Adruce Amirol di 016-3437515 atau lawati laman web rasmi Skills Sarawak: www.ppks.edu. my.

 
Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak