Pengguna harus bertindak cepat

KUCHING: Masalah bil elektrik tinggi sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) merupakan antara perkara yang dihadapi oleh sebahagian penduduk di negeri ini dalam tempoh pasca-Covid-19.

Malah Sarawak Energy Berhad (SEB) baru-baru ini, mahu pengguna merujuk kepada pihaknya untuk membuat pemeriksaan dan disertakan dengan gambar bacaan meter.

Bagi Mohd Nazirul Haziq Mohd Musa, 24, langkah merujuk kepada pihak berwajib adalah perlu bagi melaporkan kesalahan tersebut.

“Bagi saya, sekiranya pengguna yang menerima bil elektirik terlalu tinggi, mereka sebaik-baiknya hendaklah merujuk dengan pihak SEB.

“Namun ada juga kemungkinan, kebanyakan pengguna berada di rumah sepanjang tempoh PKP jadi mereka kerap menggunakan peralatan elektrik yang mengakibatkan peningkatan penggunaan elektrik di rumah,” jelasnya lagi.

Justeru katanya, pelanggan boleh menghantar gambar bacaan meter mereka ke aplikasi SEB Cares bagi mengetahui jumlah sebenar bacaan meter.

“Bagi saya isu ini nampak kecil, namun ia memberi kesan besar maka bertindaklah secepat mungkin,” tegasnya.

Mohd Nazirul adalah salah seorang pengguna yang mengalami masalah bacaan bil elektrik yang salah dibaca oleh pembaca meter.

Sementara itu bagi Christoper MJ, 39, dari Lutong, Miri, mengalami nasib yang berbeza apabila bacaan meter elektriknya salah dibaca dengan jumlah yang melebihi had sehingga perlu membayar dengan jumlah tinggi.

“Setiap kali bil elektrik datang memang saya semak balik bacaan meter saya.

Kali ini terlebih 1,000 kilowatt per jam. Mujur saya segera menyelesaikan masalah ini.

“Bagaimanapun aplikasi SEB Cares perlu dipertingkatakan kerana tiada maklum balas diberikan kepada saya selepas saya menghantar aduan sebelum ini,” katanya.

Beliau menegaskan pembaca meter harus seorang yang teliti menjalankan kerja.

“Jika menggunakan anggaran bil, ia jelas tidak membantu pengguna kerana kadang-kala bacaan yang dianggarkan melebihi had dan membebankan pengguna,” ujarnya.

Justeru Christoper berharap, aplikasi yang itu ditingkatakan kapasiti produktiviti agar maklum balas pengguna yang mengalami masalah segera di terima dan diselesaikan dengan tepat.

 
Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak