Percepatkan pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo

KOTA SAMARAHAN: Satu pasukan akan ditubuhkan bagi memperincikan kaedah baharu dalam usaha mempercepatkan penyiapan projek Lebuh raya Pan Borneo yang tergendala susulan pembatalan rakan pelaksana projek (PDP) dan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menteri Kanan Infrastruktur Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, kaedah baharu itu perlu dirujuk kepada Kabinet untuk diputuskan terlebih dahulu sebelum dilaksanakan.

“Kerajaan Persekutuan di bawah PH telah membatalkan khidmat PDP dan melantik JKR Sarawak sebagai agensi pelaksana utama serta dipantau oleh JKR Malaysia.

“Bagaimanapun, kita menghormati keputusan yang dibuat oleh PH dan ia memberi kesan secara keseluruhan terhadap pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo di Sarawak selain kemunculan pandemik Covid-19,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan projek naik taraf Laluan 8101 Jalan Datuk Mohd Musa di sini kelmarin.

Menurut Fadillah, pembatalan PDP memberi kesan kepada guaman dalam tuntutan penyelesaian dan ganti rugi kepada Lebuh Raya Borneo Utara (LBU) (sebagai PDP).

‘“Oleh itu, kita akan lakukan perkara-perkara terbabit secepat mungkin. “Setakat ini, kerja-kerja pembinaan Lebuh raya Pan Borneo di Sarawak telah disambung semula dalam tempoh PKPP yang kini hampir 50 peratus siap,” jelasnya.

Dalam perkembangan berkaitan, Fadillah mengadakan lawatan mengejut ke tapak pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo di Kota Sentosa, Kuching di bawah Samling.

“Kerja-kerja pembinaan di kawasan ini mencapai 51 peratus dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

“Antara cabaran yang dihadapi oleh pihak kontraktor ialah kepayahan untuk mendapatkan pekerja dari Indonesia ekoran sempadan negara ditutup,” ujarnya.

Justeru, beliau memberitahu, apabila sempadan negara dibuka kelak, masalah berkenaan dapat diselesaikan.

 
Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak