Perut penyu dipenuhi plastik

KUCHING: Sikap masyarakat yang membuang plastik di kawasan pantai antara faktor menyebabkan kehidupan marin termasuk penyu mati.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Sarawak Forestry Corporation (SFC) Oswald Braken Tisen berkata, penyu gemar makan plastik terutamanya yang berwarna jernih.

“Hasil bedah siasat kita terhadap penyu yang mati di kawasan perairan Sarawak, kebanyakan perut penyu dipenuhi plastik.

Oswald Braken Tisen

“Malah, Sarawak turut merekodkan seekor buaya gergasi mati kerana perutnya dipenuhi dengan plastik,” ujarnya. Beliau berkata demikian apabila menjadi salah seorang panel seminar dalam talian “Cabaran Pemuliharaan Penyu di Borneo sempena Hari Penyu Sedunia” anjuran WWF Malaysia dan Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Menurut Oswald, pengurusan tanah secara bersepadu diperlukan kerana apa-apa yang berlaku di darat akan memberi kesan kepada laut. “Kita berdepan dengan cabaran pukat tunda yang beroperasi di kawasan larangan di sepanjang perairan Sarawak (lebih 1,000 kilometer).

“Sebab itu, kita menanam tukun tiruan untuk menghalang kapal pukat tunda menceroboh kawasan pembiakan penyu,” jelasnya. Katanya lagi, Sarawak juga berdepan dengan pemburuan haram penyu oleh nelayan luar negara dan penjualan telur penyu di kawasan sempadan Indonesia.

“Malah, kita berjaya mendakwa beberapa nelayan tempatan di mahkamah yang dijatuhkan hukuman penjara enam bulan kerana membawa telur penyu. “Agak sukar untuk kita men-getahui lokasi asal telur penyu yang dijual secara haram kerana Sarawak dijadikan transit kegiatan itu antara Sabah dan Semenanjung Malaysia,” ujarnya.

 
Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak