Petronas mesti bayar cukai

SIBU: Ahli Dewan Negara Senator Robert Lau Hui Yew menggesa Lembaga Pengarah Petronas mematuhi keputusan pengadilan dan pengerusinya,

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk membayar cukai jualan kepada Sarawak.

Robert Lau melahirkan rasa bimbang apabila mengetahui kononnya Lembaga Pengarah Petronas mengingkari keputusan Perdana Menteri membayar cukai jualan Sarawak.

“Saya berharap sentimen anggota lembaga ini seperti yang dilaporkan adalah tidak benar.

Pendirian Perdana Menteri untuk meminta syarikat minyak nasional itu membayar dan mematuhi undang-undang Sarawak keputusan tepat,” katanya dalam satu kenyataan kelmarin.

Menurutnya lagi, Muhyiddin merupakan pengerusi lembaga serta syarikat berkenaan, maka ahli lembaga tidak boleh mengingkari Perdana Menteri.

Meskipun Petronas terikat tidak dari segi perundangan atau secara moral untuk membayar cukai jualan yang dikenakan oleh Kerajaan Sarawak, namun katanya, Petronas harus mematuhi keputusan mahkamah.

“Petronas mesti mematuhi undang-undang kita ketika beroperasi di Sarawak,” tegasnya.

Beliau berkata, secara moralnya Petronas harus bersyukur dengan kekayaan yang mereka peroleh dari pesisir pantai negeri ini sejak setengah abad lalu.

Menurutnya, adalah baik bagi anggota lembaga menjelajahi negeri ini untuk melihat sejauh mana Sarawak ketinggalan berbanding dengan negeri lain di Malaysia.

“Salah satu janji utama yang dibuat oleh para pemimpin Tanah Melayu kepada penduduk Sarawak semasa pembentukan Malaysia tahun 1963 ialah Sarawak akan lebih cepat maju setanding dengan Semenanjung Malaysia dari segi pembangunan.

“Itulah janji yang dibuat oleh bapa pengasas negara kita untuk menarik Sarawak bergabung dalam pembentukan Malaysia.

Rakyat Sarawak hanya meminta apa yang dijanjikan serta layanan yang adil,” ujarnya.

Robert Lau mendedahkan, Petronas membayar dividen setiap tahun dalam jumlah puluhan bilion kepada Kerajaan Persekutuan selama ini.

Beliau mendakwa tahun ini, Petronas membayar RM24 bilion kepada Kerajaan Persekutuan dan dilaporkan pertimbangan untuk membayar lebih banyak dividen tahun akan datang.

Tahun lalu, Petronas telah membayar dividen sebanyak RM54 bilion kepada Kerajaan Persekutuan.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak