Raikan Gawai Dayak dengan semangat perpaduan

KUCHING: Sambutan Hari Gawai Dayak PKPB amat berbeza berbanding dengan sambutan pada tahun-tahun sebelum ini. Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, perkara itu disebabkan pandemik Covid-19 yang melanda di seluruh dunia termasuk Malaysia.

“Kita berterima kasih kepada semua petugas barisan hadapan yang bekerja bertungkus-lumus untuk memutuskan rantaian penularan Covid-19 ini dan kita harus berkerjasama dengan mereka. “ Menjadi tanggungjawab kita semua untuk mematuhi segala arahan PKPB dan SOP yang dilaksanakan untuk menghapuskan penularan wabak Covid-19 ini,” ujarnya menerusi kenyataan, kelmarin.

Tambahnya, walaupun tradisi ngabang pada perayaan kali ini tidak dibenarkan namun beliau yakin sambutan Hari Gawai akan dapat terus dirayakan bersamasama dengan keluarga.

“Saya juga berharap semangat perayaan Gawai Dayak ini dapat terus mempertingkatkan hubungan antara semua kaum walaupun kita berbeza dari segi kepercayaan agama, budaya dan latar belakang yang berlainan.

“Semangat bekerjasama, saling menghormati dan hidup dalam keadaan penuh harmoni merupakan identiti kita sebagai orang Sarawak,” jelasnya.

Beliau yakin walaupun negara masih dalam tempoh PKPB dan pergerakan amat terhad masyarakat masih boleh berhubung dan merayakan sambutan Hari Gawai ini dengan penuh keceriaan melalui platform media sosial seperti Facebook, WhatsApp, Instagram dan lain-lain.

“Inilah norma baharu yang kita harus terima, semasa perayaan Hari Raya Aidilfitri platform sebegini digunakan sepenuhnya dan ini membawa sedikit keceriaan pada sambutan tersebut. “Kita mahu memastikan agar kesejahteraan dan kualiti hidup masyarakat kita akan dapat dipertingkatkan,” katanya.

Beliau juga mengucapkan, “Selamat Hari Gawai, Gayu Guru Gerai Nyamai Ngagai” kita semua. “Ngarapka kita semua seruran likun, nyaga diri, nyaga pengerai maya Hari Gawai tu. Saya berharap anda semua selamat, menjaga diri, menjaga kesihatan anda semasa sambutan Hari Gawai Dayak ini,” ujarnya lagi.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak