Ratusan juta dos vaksin dihasilkan sebelum 2021

GENEVA: WHO berkata beberapa ratus juta dos vaksin Covid-19 mungkin dihasilkan menjelang hujung tahun dan disasarkan kepada yang paling berisiko dijangkiti virus itu.

Agensi kesihatan PBB itu berkata, ia berusaha berdasarkan andaian itu dan menjangkakan dua bilion dos dihasilkan selewatlewatnya pada hujung 2021.

Ketua saintis WHO, Soumya Swaminathan berkata penyelidik menguji lebih 200 vaksin yang berpotensi mencegah Covid-19 di seluruh dunia, termasuk 10 yang sedang diuji ke atas manusia.

“Jika kami sangat bernasib baik, satu atau dua vaksin dihasilkan pada akhir tahun ini,” katanya dalam satu sidang media maya. Beliau mengenal pasti tiga kumpulan pertama untuk menerima dos vaksin pertama.

Kumpulan itu melibatkan pekerja barisan hadapan yang terdedah risiko tinggi, seperti pegawai perubatan dan polis, warga emas dan pesakit kencing manis serta mereka yang berada pada persekitaran jangkitan tinggi seperti kawasan luar bandar dan rumah jagaan.

“Usaha ini harus bermula dengan yang paling berisiko dan kemudian secara bertahap-tahap memberi vaksin kepada lebih ramai orang,” kata Swaminathan.

Beliau berharap pihaknya memperoleh dua bilion dos dari hingga tiga jenis vaksin yang berkesan untuk diedarkan ke seluruh dunia menjelang 2021 “Tetapi ini satu andaian paling optimis kerana kami belum menemui vaksin yang terbukti berkesan,” katanya.

Sementara bulan lalu, eksekutif syarikat farmaseutikal berkata satu atau beberapa vaksin Covid-19 mungkin dilancarkan sebelum 2021, namun memberi amaran sekitar 15 bilion dos diperlukan untuk membendung virus tersebut.

Swaminathan berkata, saintis mengkaji 40,000 urutan virus korona baharu itu dan meskipun semua virus bermutasi, ia kurang berbanding influenza, dan belum bermutasi dalam ciriciri utama yang mengubah tahap kemudaratan penyakit atau tindak balas imun. – AFP


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak