Simunjan kini zon kuning

KUCHING: Daerah Simunjan telah bertukar status daripada hijau ke kuning selepas satu kes baharu positif Covid-19 dilaporkan hari ini.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) dalam satu kenyataan berkata, ia menjadikan enam daerah berstatus kuning manakala 34 lagi kekal zon hijau.

“Ini merupakan kes pertama positif Covid-19 selepas bebas pandemik berkenaan untuk lapan hari berturut-turut.

“Justeru, keseluruhan kes positif Covid-19 di Sarawak setakat ini ialah 553 kes,” kata JPBN.

Tambahnya, jumlah keseluruhan kes postif Covid-19 yang sembuh dan discaj pula kekal seramai 523 orang atau 94.58 peratus.

“Dalam pada itu, sebanyak 16 individu di bawah siasatan (PUI) baharu dilaporkan dan 19 lagi masih menunggu keputusan ujian makmal.

“Sementara itu, seramai 558 individu di bawah pemantaun (PUS) telah mendaftar masuk di hotel untuk menjalani kuarantin setakat ini,” jelasnya.

Katanya, ini menjadikan jumlah keseluruhan PUS di 38 buah hotel adalah seramai 1,396 orang.

“Sehubungan itu, seramai 13,283 PUS telah tamat menjalani tempoh kurantin dan dibenarkan pulang ke rumah masing-masing,” ujarnya.

Suara Sarawak