Tiga warga Indonesia ditahan, tiada miliki dokumen perjalanan sah

BAU: Tiga lelaki warga Indonesia disyaki tanpa dokumen perjalanan sah ditemui dalam keadaan mencurigakan berhampiran kawasan kaki gunung Tabai Krongkong, semalam.

Ketua Polis Daerah Bau, DSP poge Nyaon berkata, suspek berjaya ditahan sepasukan Bahagian Siasatan Jenayah Bau ketika membuat rondaan Ops Benteng Covid-19 di lokasi kejadian sekitar jam 4.10 petang.

Menurutnya, ketiga-tiga suspek yang ditahan berusia lingkungan 18 hingga 23 tahun.

“Ketika diperiksa suspek gagal memberikan keterangan munasabah kepada pihak polis,” jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya, kesemua suspek seterusnya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Bau untuk tindakan lanjut.

Dedah beliau, hasil semakan rekod mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau.

Susulan itu, katanya, kesemua suspek ditahan di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Jika sabit kesalahan, suspek boleh dikenakan denda RM10,000 atau 10 tahun penjara.

 
Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak