Upacara miring 1,600 kaki dari paras laut

PUNCAK BORNEO: Suku kaum Bidayuh Biya tetap meneruskan upacara tradisi Miring berlandaskan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bagi menyambut Hari Gawai, tahun ini.

Upacara yang dilakukan di kawasan pergunungan Puncak Borneo setinggi 1,600 kaki dari paras laut dari Kampung Sapit itu disertai 10 orang penduduk sekitar jam 4.30 petang semalam. Tinjauan Suara Sarawak ke lokasi menyaksikan penduduk masih menegaskan pematuhan terhadap PKPB meskipun sambutan upacara itu tidak dihadiri ramai warga kampung seperti tahun-tahun sebelum ini.

Ketua Kampung, Yuyuh Gumi, 48, berkata, hasil mesyuarat dengan beberapa anggota penduduk kampung memutuskan aktiviti ngabang dari rumah ke rumah tidak dibenarkan. Jelasnya, tindakan itu diambil bagi memastikan penjarakan sosial penduduk kampung di sini mematuhi PKPB yang dijalankan di seluruh negara.

“Ramai anak-anak kampung tidak dapat balik kerana terkandas akibat PKPB untuk menyambut Gawai bersama-sama keluarga disini. “Sudah pasti sambutannya akan menjadi tidak seperti kebiasaan. Kita hanya membenarkan penduduk menyambut gawai di rumah sahaja,” jelasnya ketika ditemui kelmarin.

Tambahnya, kebiasaannya gawai turut disambut meriah dengan kedatangan masyarakat dari luar Kampung Gun Tumbawang, Indonesia yang berada kira-kira satu kilometer dari kampung Sapit. Dalam pada itu, Ketua Adat Gawai Ramli Riko, 52, berkata, tahun ini genap beliau menjalankan upacara Miring selama 32 tahun.

Dedahnya, aktiviti pengisian Miring termasuk menyala Shupak, berpantun dan tarian Berajang Brani turut dilaksanakan bersama lima pengikut upacara. Beliau bagaimanapun memberitahu upacara tidak melibatkan orang ramai kerana mengikut arahan PKPB agar masyarakat dapat menjaga penjarakan sosial masing-masing.

Sehingga kini (semalam), Kampung Sapit masih dikategorikan sebagai salah satu kawasan zon hijau berikutan tiada kes penularan wabak Covid-19 direkodkan di lokasi berkenaan.

Suara Sarawak