KUCHING: Bahagian Siasatan Jenayah Komersil, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching setakat 30 Jun lalu telah menurunkan sebanyak 225 banting pelbagai saiz dan ukuran yang menawarkan pinjaman Ah Long di sekitar bandar raya ini.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kuching Superintendan Merbin Lisa berkata dalam tempoh berkenaan juga, seramai tiga orang lelaki tempatan berumur 25, 26 dan 35 tahun telah ditangkap kerana kesalahan membantu pemberi pinjam wang tidak berlesen dengan cara mengedar kad pemberi pinjam wang tanpa lesen.

“Kesemua mereka telah dituduh di Mahkamah Kuching mengikut Seksyen 29AA, Akta Pemberi Pinjam Wang Tanpa Lesen 1954 pada 26 Jun lalu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Justeru, beliau menegaskan sesiapa yang didapati dan ditangkap mengedar kad atau risalah, mengantung banting serta menampal pamplet berkait dengan pemberi pinjam wang tanpa lesen ini akan dituduh di bawah Seksyen 29AA akta yang sama.

Katanya sekiranya didapati bersalah boleh dihukuman penjara tidak melebihi dua tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya.

Selain itu, Merbin berkata bagi kesalahan mengugut serta menganggu peminjam akan dituduh di bawah Seksyen 29B akta yang sama yang membawa hukuman denda tidak kurang daripada RM50,000 dan tidak melebihi RM250,000 atau dipenjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

Beliau menambah bagi kesalahan yang kedua atau berturutan akan dikenakan sebatan sebagai hukuman tambahan.

“Adalah diingatkan dan dilarang dengan sekeras-kerasnya kepada masyarakat supaya tidak meminjam dari pemberi pinjam wang tanpa lesen kerana sekiranya masih meminjam dari sindiket ini, mereka sebenarnya mendedahkan diri dengan perbuatan jenayah yang bakal dilakukan oleh Ah Long ini.

“Malah dengan membuat pinjaman, anda juga yang sebenarnya membenarkan mereka ini masih wujud di dalam masyarakat kita,” katanya.

Merbin menasihatkan masyarakat yang mengalami kesulitan dari segi kewangan untuk berhubung terus dengan Agensi Kaunseling Dan Pengurusan Kredit (AKPK) iaitu salah satu agensi di bawah Bank Negara Malaysia bagi mendapatkan khidmat kaunseling.

Katanya masyarakat yang mempunyai kemusykilan dan maklumat berhubung dengan kegiatan Ah Long boleh menyalurkan maklumat melalui WhatsApp atau SMS ke Commercial Crime Investigation Department (CCID) Infoline di talian 013-211 1222.