KUCHING: Program Subsidi Upah memberi kelegaan kepada majikan dalam membayar gaji pekerja.

Pengarah Sim Swee Yong Development and Construction Sdn Bhd Sim Khiang Chiok berkata, Program Subsidi Upah tersebut memudahkan syarikatnya dalam membayar gaji pekerja meskipun tiada subsidi diberikan kepada mereka yang bergaji RM4,000.

Menurutnya, sembilan orang pekerja syarikatnya mendapat manfaat daripada subsidi tersebut dan tiada pekerja yang diberhentikan oleh syarikatnya.

“Walaupun lanjutan bantuan selama tiga bulan lagi untuk RM600 satu pekerja dalam satu bulan akan membantu kami mengekalkan pekerja kami.

“Ini bermakna subsidi upah adalah untuk enam bulan secara keseluruhan.

“Saya berharap ia mencukupi sehingga ekonomi pulih daripada pandemik Covid-19.

“Namun kesemua petunjuk ekonomi menunjukkan kita memerlukan masa yang panjang untuk pulih sepenuhnya seperti sebelum tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” ujarnya.

Khiang Chiok berharap kerajaan mengekalkan bantuan subsidi semasa iaitu terdapat bantuan berperingkat dan lebih tinggi untuk syarikat dengan RM1,200 untuk 75 orang pekerja, RM800 untuk 76 hingga 200 orang pekerja dan RM 600 untuk 200 pekerja ke atas.

“Saya mahu memberi pujian kepada kerajaan atas bantuan yang inklusif ini untuk kesemua syarikat dalam pandemik ini.

“Kejadian global yang tidak pernah terjadi ini telah menimbulkam ketidaktentuan dan telah menyekat keyakinan perniagaan dalam pasaran seluruh dunia.

“Pemimpin di peringkat Kerajaan Persekutan telah membantu melonjak ekonomi, kurang berpolitik dan kerja keras kita akan menjadi ubat untuk membangkitkan semula ekonomi dan perniagaan pada tahap sebelum Covid-19,” katanya.

Khiang Chiok turut memberitahu semua aktiviti perniagaannya ditutup semasa PKP dilaksanakan.

“Bilik pameran dan kedai tidak dapat dibuka semasa PKP. Kakitangan saya berada di rumah dan tiada kerja yang dapat dilaksanakan pada ketika itu.

“Di tapak binaan, kesemua kerja terhenti dan kami hanya ada beberapa pengawal keselamatan yang berada di tapak binaan,” katanya mengenai situasi PKP yang dilaksanakan pada 18 Mac lalu.

Khiang Chiok menjelaskan, ia amat mengecewakan dan merisaukan apabila PKP dilanjutkan sehingga PKP Bersyarat pada 4 Mei dengan kelonggaran diberikan untuk syarikatnya kembali bekerja pada 12 Mei.

“Kini kami bekerja dengan berwaspada dan mematuhi pada SOP seperti garis penjarakan sosial, kebersihan dan kesihatan,” katanya.