KUCHING: Sarawak diberi jaminan oleh Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Presiden Pas, Datuk Seri Hadi Awang yang kedua-dua parti itu tidak akan bertanding dalam Pilihan raya Negeri Ke-12 (PRN12) tidak lama lagi.

Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) Tan Sri James Jemut Masing berkata, jaminan itu dibuat dalam pertemuan selama dua jam antara Muhyiddin yang juga Perdana Menteri bersama-sama 12 gabungan parti politik di ibu negara semalam.

“Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang juga Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg menjadikan kedudukan Sarawak sangat jelas dalam Perikatan Nasional (PN).

“GPS menyokong penuh Muhyiddin sebagai Perdana Menteri sehingga tempoh Pilihan raya Umum Ke-15 (PRU15),” katanya dalam satu kenyataan sebentar tadi.

Tambah James Masing yang juga Timbalan Ketua Menteri, PN turut sedar yang PRN12 Sarawak tidak lama lagi dan GPS bersedia menghadapinya.

“Oleh itu, empat komponen parti (GPS, Bersatu, Umno dan Pas) bersedia untuk menentang pembangkang (Dap, PKR, PSB dan lain-lain).

“Jaminan ini bukan sahaja akan memberi jalan kepada GPS untuk melawan ketua pembangkang, tetapi ia adalah petanda baik bahawa PN menghormati komitmennya untuk membantu GPS berdepan dengan PRN12 kelak,” ujarnya.