MOSCOW: Banyak perniagaan kecil dan sederhana termasuk kedai buku akan dibenarkan untuk dibuka semula pada Isnin apabila pihak berkuasa Rusia mula melonggarkan sekatan pengurungan Covid-19 secara beransur-ansur.

Rusia melaporkan lebih 396,000 kes jangkitan Covid-19, menjadikan ia negara ketiga terbesar jumlah kes di seluruh dunia selepas AS dan Brazil.

Bagaimanapun, tidak semua orang akan kembali memulakan operasi perniagaan mereka. Menurut kajian Pusat Penyelidikan Strategik pada April lalu, kira-kira satu pertiga syarikat Rusia berisiko mufl is berikutan ketiadaan dalam permintaan akibat wabak tersebut.

Syarikat dalam industri perdagangan dan perkhidmatan antara yang paling teruk terjejas, kata kumpulan pemikir. Sementara, pihak berkuasa mengumumkan langkah untuk memberi sokongan ekonomi, termasuk penangguhan pembayaran pajak dan pinjaman tanpa bunga.

Banyak perniagaan kecil dan sederhana mengeluh dengan langkah dilihat kurang berkesan itu. Ketua Pusat Pengajian Pasaran Buruh di Sekolah Tinggi Ekonomi Moscow, Vladimir Gimpelson, mengatakan pengurangan cukai dan pinjaman tidak banyak membantu syarikat yang hampir muflis.

“Penangguhan bukan penyelesaian untuk masalah ini,” kata Gimpelson dalam satu laporan baru-baru ini, memberi amaran peningkatan kemiskinan dan ketidaksamaan.

Kerajaan Rusia enggan memanfaatkan dana kekayaan negara, yang memiliki aset bernilai AS$150 bilion pada awal Mac, dan sebaliknya memerintahkan syarikat terus membayar pekerjanya pada April walaupun ditutup. – AFP