KUCHING: Mewarisi kepakaran membuat sambal tumbuk daripada ibunya, Siti Aminah Fadzli akhirnya menubuhkan Imanqhu Enterprise yang memasarkan produk sambal tumbuk warisan ibunda.

Sebelum berkecimpung dalam bidang perniagaan sambal tumbuk, dia pernah menceburi bidang katering makanan.

“Semasa membuat katering, pelanggan gemar sambal tumbuk kering yang saya buat.

“Dari situ timbul idea untuk membangunkan sendiri sambal tumbuk pelbagai perisa yang dipelajari daripada ibu,” katanya semasa ditemui dalam Program Agro Bazar Online (ABO) yang dianjurkan oleh Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama).

Kata Siti, sambal tumbuk buatannya senang, mudah dan sedap dimakan.

“Terdapat pelbagai jenis perisa sambal dihasilkan seperti sambal tumbuk ikan bilis, ikan bilis belacan, udang kering, daging, ayam dan makanan laut.

“Malah, saya juga menyediakan sambal nanas, buah kepayang, sotong, acar buah-buahan yang dicampur dengan limau kasturi,” ujarnya.

Menurutnya lagi, Fama memainkan peranan penting dari sudut mengetengahkan promosi pasaran dan sampel.

“Fama membantu menaikkan nama usahawan baharu seperti saya.

“Agensi ini memberi tunjuk ajar kaedah meningkatkan mutu dan kualiti produk sehingga saya boleh menjana pendapatan lumayan,” jelasnya.

Siti juga menasihati usahawan muda untuk berani terlibat dalam bidang perniagaan dan terus belajar.

“Kualiti produk sangat penting. Kita harus terbuka menerima teguran jika ingin berjaya.

“Saya dahulu tidak begitu arif tentang pemasaran produk, tetapi kini saya bersyukur kerana dengan asanya bantuan Fama, saya boleh belajar mempromosikan produk sambal tumbuk ini.

“Malah, apabila Fama menganjurkan sesuatu program seperti karnival, saya mampu meraih pendapatan hingga RM2,000 dalam tempoh seminggu,” katanya.