NEW DELHI: TikTok menafi kan dakwaan ia berkongsi data pengguna India dengan kerajaan China, selepas India mengharamkan aplikasi yang sangat popular itu atas alasan risaukan keselamatan negara dan privasi, selepas pertempuran berdarah tentera kedua-kedua negara di sempadan.

“TikTok terus mematuhi semua kehendak privasi dan keselamatan data di bawah undang-undang India dan tidak berkongsi maklumat pengguna kami di India dengan mana-mana kerajaan asing, termasuk kerajaan China,” kata ketua TikTok India, Nikhil Gandhi dalam satu kenyataan.

“Selanjutnya jika kami diminta berbuat demikian pada masa hadapan, kami tidak akan melakukannya. Kami meletakkan kepentingan tertinggi pada privasi dan integriti pengguna,” katanya.

Tambahnya, TikTok ia dijemput mengadakan pertemuan pemerintah India “untuk kesempatan bagi menjawab dan mengemukakan penjelasan “. TikTok dimiliki oleh firma China, ByteDance dan merupakan salah satu daripada 59 aplikasi mudah alih China yang diharamkan pada Isnin oleh kerajaan Perdana Menteri Narendra Modi.

Dianggarkan terdapat kira-kira 120 juta pengguna TikTok di India, menjadikan negara Asia Selatan dengan 1.3 bilion jiwa itu sebagai pasar antarabangsa terbesar bagi aplikasi itu.

Kementerian teknologi maklumat India mengatakan bahawa aplikasi tersebut diharamkan kerana “terbait dalam kegiatan bahaya… yang menggugat kedaulatan dan integriti India, pertahanan India, serta keselamatan negara dan ketenteraman awam”.

Telefon bimbit China menguasai hampir 65 peratus pasaran telefon pintar di India manakala aplikasi perkongsian video seperti TikTok dan Helo popular dalam kalangan golongan muda negara itu.

Hubungan antara dua negara berpenduduk paling ramai di dunia itu semakin renggang berikutan kematian 20 anggota tentera India dalam pertempuran dengan tentera China di sempadan Himalaya pada 15 Jun lalu. – AFP