BETONG: Sepanjang minggu pertama operasi tabika, kanak-kanak akan difokuskan dengan sukatan pelajaran bertemakan kebersihan, pengenalan Covid-19 dan prosedur operasi standard (SOP).

Tinjauan Suara Sarawak di kawasan Parlimen Betong mendapati, 45 tabika serta tiga taska Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) turut memulakan operasi masing-masing, kelmarin.

Seperti tempat lain, kesemuanya beroperasi mengikut garis panduan yang ditetapkan. Pegawai Kemas Bahagian Betong Md Asdi Hamdi berkata, pematuhan terhadap tahap kesiapsiagaan di semua tabika dan taska Kemas diberikan perhatian utama.

Tempoh seminggu sebelum ini kita gunakan untuk membuat persiapan penuh pengoperasian seperti aktiviti nyahkuman oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, perbincangan bersama-sama ibu bapa dan agihan borang akuan.

“Alhamdulillah, sebanyak 45 tabika dan tiga taska Kemas dapat dibuka dan berjalan lancar dengan kelaziman baharu hari ini. “Cuma untuk minggu pertama ini, tenaga pengajar akan memberi fokus untuk melatih kanakkanak memeriksa suhu, amalan penjarakan sosial, kerap mencuci tangan dan lain-lain,” katanya.

Selain itu, menerapkan kanakkanak dengan pembelajaran SOP sedia ada dan semua ibu bapa diwajibkan untuk mengisi borang akuan, jelasnya.

Sementara itu, bagi salah seorang tenaga pengajar di Tabika Kemas Gita Laut Mastuyah Yakub, dia mengakui operasi tabika dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) sangat berlainan. “Antara perkara yang sangat dirasai ialah amalan penjarakan sosial.

“Sebelum ini lain, kali ini lain. Namun tidak mengapa demi memastikan keselamatan bersama. “Cabaran utama ialah usaha menerapkan amalan kelaziman baharu. “Untuk tempoh seminggu ini, kanak-kanak akan difokuskan dengan silibus yang bertemakan kebersihan, pengenalan Covid-19 dan SOP,” ujarnya.

Ditanya tahap penyesuaian kanak-kanak pada hari pertama, beliau memaklumkan, mereka (kanak-kanak) boleh mengikuti garis panduan yang disediakan, namun masih memerlukan panduan.