KUCHING: Sebanyak RM235,056.71 jumlah nilai kerugian akibat kes penipuan jenayah siber yang berlaku di daerah Padawan sepanjang tempoh 1 Mac sehingga 31 Jun, tahun ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Padawan, DSP Lim Jaw Shyong berkata, jumlah terbabit merupakan nilai kerugian berdasarkan 51 kes laporan yang diterima pihaknya dalam tempoh tersebut.

Menurutnya, ia sekaligus menunjukkan peningkatan terhadap jumlah laporan dan kerugian berbanding tempoh sama pada tahun 2019 dengan catatan sebanyak 9 kes melibatkan kerugian bernilai RM184,440.80.

Dedah beliau, statistik turut merekodkan hampir setiap hari pihaknya ada menerima laporan berkaitan kes berkaitan penipuan melalui panggilan talian telefon atau media sosial menggunakan aplikasi Whatapps,  Facebook dan Instagram.

Tegasnya, orang awam dinasihatkan untuk lebih peka serta berhati-hati dengan modus operandi penjenayah siber dengan membuat semakan kesahihan perkara tersebut daripada menjadi mangsa kes penipuan.

“Punca utama mangsa berjaya ditipu adalah sikap mudah percaya dan panik apabila mendapat panggilan daripada penyamar sehingga mangsa sanggup menuruti segala perintah penjenayah.

“Untuk itu, jangan sesekali memberikan maklumat peribadi atau akaun bank dan memindahkan wang sesuka hati kepada mana-mana pemanggil yang tidak dikenali serta mencurigakan,” jelasnya menerusi satu kenyataan hari ini.

Tambahnya, pihaknya sentiasa bersedia menerima laporan atau memberikan bantuan sekiranya mana-mana orang awam tampil untuk meminta nasihat berhubung kejadian.

“Masyarakat boleh menyalurkan maklumat berkaitan kes kepada balai polis yang berdekatan atau melalui nombor WhatApp Commercial Crime Investigation Department Hotline (CCID)  Infoline di talian 013-2111222 serta boleh melayari portal rasmi CCID http://ccid.rmp.gov.my/semakmule/# untuk maklumat terkini berhubung penipuan kewangan,” ujarnya.