MERENUNG ke luar jendela, bayu pagi meniup lembut, lihat bintang di angkasa, purnama menerangi gelapku! Dan apabila fajar menjelma, itu permulaan hari baharu.

1 Julai merupakan hari yang baharu bagi si cilik. Tidak terasa setelah lebih tiga bulan diberi cuti angkara pandemik Covid-19, mereka semalam hadir semula untuk berguru.

Moga suatu hari nanti mampu menjadi insan berguna kepada agama, bangsa dan negara. Anak-anak, kalianlah yang akan mewarisi dunia masa depan.

Dan pembukaan semula hampir kesemua sektor baik ekonomi mahupun sosial membuktikan kejayaan besar negara dalam memerangi Covid-19. Ketahuilah, fasa pemulihan ini sangat genting kerana kita masih belum sampai ke penghujungnya.

Bagi anak-anak yang mula memasuki prasekolah dan tadika masing-masing semalam, nyata kelihatan cukup teruja. Ada yang kata rindu Cikgu, rindu kawan-kawan, rindu suasana riang dan macam-macam lagi. Pada usia sedemikian, mereka sebenarnya belum mengerti apa-apa, apatah lagi tentang bahaya.

Ini menjadi cabaran baharu kepada semua warga prasekolah dan tadika yang kini menggalas sebagai petugas barisan hadapan di tempat masing-masing.

Tinjauan umum Suara Sarawak melihat sendiri operasi hari pertama dalam kelaziman baharu, dari sudut persiapan sangat dipuji… tip top!

Boleh dikatakan seratus peratus perkara yang tersenarai dalam garis panduan, semua dipatuhi terutama susun atur meja dengan penjarakan sosial, penggunaan pelitup muka, pensanitasi tangan dan sebagainya. Ini sekali gus membina keyakinan ibu bapa untuk menghantar anak-anak.

Kerana sebelum ini ramai yang meminta kerajaan menangguhkan pembukaan semula kelas terbabit. Dengan penurunan kes saban hari, ia boleh dijadikan kayu ukur bahawa negara semakin pulih.

Maka kerajaan berpandangan sekolah sudah wajar dibuka secara berperingkat dan dimulakan oleh pelajar tingkatan lima dan enam pada 24 Jun lalu.

Tanggapan sesetengah pihak yang mengatakan tindakan pembukaan prasekolah, tadika atau taska akan mendedahkan anak-anak kepada risiko jangkitan satu pemikiran yang harus ditepis.

Bukan sesuka hati

Mungkin betul, tetapi kita juga harus faham sesuatu tindakan yang diambil bukan dibuat sesuka hati. Lazimnya mengambil kira pandangan profesional dan ibu bapa sendiri.

Namun apa yang penting, tahap pematuhan harus sentiasa diletakkan pada paras tertinggi.Ini bukan perkara main-main kerana ia melibatkan jangkitan virus berbahaya. Salah seorang tenaga pengajar yang kelihatan bersemangat menyambut kehadiran si cilik mengakui, mereka harus meletakan keselamatan diri dan anak-anak sebagai keutamaan.

“Prosedur operasi standard (SOP) atau garis panduan yang ditetapkan bukan lagi perkara nombor satu kerana semua itu sudah kami laksanakan.

“Sebaliknya, tumpuan utama kami di sini adalah untuk memastikan SOP atau garis panduan itu dipatuhi tanpa gagal. “Harus diingat, kami berhadapan dengan kelompok usia yang sangat berisiko. “Justeru itu, praktik serta amalan tentang kelaziman baharu harus dipastikan konsisten… jangan hanya diikut pada hari pertama, kedua atau ketiga,” katanya.

Hal ini kerana selain memberi tumpuan kepada keselamatan, matlamat utama mereka adalah untuk memastikan proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) berjalan lancar dan berjaya. Kerajaan memberi kelonggaran untuk pembukaan sekolah agar proses penyampaian ilmu dapat diteruskan.

Satu perkara yang kita mahu ialah kemenjadian anak-anak tanpa ancaman virus berbahaya. Bagaimanapun, melihat kepada pemantauan di sepuluh premis secara rawak, penulis yakin isu keselamatan tidak harus dibimbangi.

Cuma apa yang dituntut ialah kepekaan ibu bapa atau tenaga pengajar sekiranya berlaku perubahan tahap kesihatan pada anak-anak. Suhu anak melebihi 37.5 darjah selsius, ada menunjukkan simptom, segeralah ke klinik dan jangan dihantar ke sekolah.

Dalam pada itu, dengan amalan kelaziman baharu, anakanak mungkin terkejut dengan corak pembelajaran yang digunakan oleh guru mereka. Mereka mungkin memerlukan sedikit masa untuk menyesuaikan diri. Kita sebagai ibu bapa mengharapkan yang terbaik.

Penulis yakin, kreativiti tenaga pengajar akan memudahkan urusan PdP seperti sedia kala kerana mereka merupakan profesional yang terlatih. Pendidikan awal kanak-kanak amat penting sebelum melangkah ke alam persekolahan yang lebih tinggi.